PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM3.28 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026.
Prestasi berdaya tahan itu dicapai hasil pertumbuhan pendapatan makro, pengurusan kos strategik, serta kualiti aset yang sihat di sebalik ketidakpastian geopolitik global yang sedang berterusan.
Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Kevin Lam berkata, jumlah pinjaman dan pembiayaan kasar bank mengekalkan momentum pertumbuhan apabila berkembang 8.4 peratus tahun ke tahun kepada RM218.2 bilion.
“Pertumbuhan ini dipacu oleh pengembangan di seluruh segmen utama termasuk gadai janji (mortgage), pinjaman kenderaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perbankan komersial, serta pasaran luar negara utama.
“Kami terus proaktif dalam menyediakan sokongan teguh kepada pelanggan kami, di samping mengekalkan kualiti aset yang sihat dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) yang rendah pada paras 0.60 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, jumlah pendapatan bank bagi tempoh sembilan bulan meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM4.9 bilion, dibantu oleh margin faedah bersih (NIM) yang stabil pada paras 1.83 peratus hasil pengurusan kos dana yang berdisiplin.
Sementara itu, untung bersih kumpulan menyaksikan sedikit penyederhanaan kadar pertumbuhan berikutan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat sekutu, Bank of Chengdu Co., Ltd (BOCD) kesan pencairan pegangan susulan penukaran bon boleh tukar, selain impak pertukaran asing daripada nilai ringgit yang lebih kukuh.
Bagi segmen deposit, HLB merekodkan pengembangan akaun simpanan dan semasa (CASA) sebanyak 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM77.9 bilion, sekali gus membawa nisbah CASA kepada 32 peratus daripada keseluruhan deposit pelanggan yang berjumlah RM243.5 bilion.
Sebagai sebahagian daripada pengukuhan portfolio gaya hidup dan kekayaan, HLB mengumumkan penjenamaan semula segmen pengurusan kekayaan premiumnya kepada ‘HLB Priority’ yang turut merangkumi kerjasama kesihatan eksklusif bersama Asia OneHealthcare (A1Health).
Unit perbankan Islam kumpulan, Hong Leong Islamic Bank, turut tampil dengan identiti jenama pengguna baharu dikenali sebagai ‘HLB Islamic’.
Melangkah ke hadapan, Kevin berkata, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dan diunjur berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.
“Ia dipacu oleh penggunaan domestik, pelaburan pusat data, serta pelaksanaan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) sekiranya konflik Iran di Asia Barat tidak berpanjangan,” katanya. –UTUSAN









