PETALING JAYA: Harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing diturunkan sebanyak 20 sen dan 15 sen seliter bermula esok, manakala harga diesel di Semenanjung turut mencatat penurunan 10 sen seliter.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.65 seliter berbanding RM4.85 sebelum ini, sementara RON95 tanpa subsidi pula turun kepada RM3.92 seliter daripada RM4.07 seliter.
Bagi diesel di Semenanjung, harga runcit ditetapkan pada RM4.87 seliter berbanding RM4.97 seliter sebelum ini.
Penetapan harga baharu itu berkuat kuasa sehingga 3 Jun depan.
Dalam pada itu, harga RON95 bersubsidi menerusi program BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.
Harga petrol bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) turut dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala diesel bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
Menurut kementerian itu, harga minyak mentah Brent ketika ini masih berada melebihi paras US$100 setong, iaitu lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik yang berada sekitar US$60 hingga US$70 setong.
“Keadaan itu turut dipengaruhi peningkatan kos penghantaran serta premium insurans susulan risiko laluan perdagangan di kawasan konflik.
“Kerajaan menyeru orang ramai supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah bagi membantu memastikan bekalan negara kekal mencukupi,” katanya. – UTUSAN










