Hang Tuah milik Aqasha, pernah jadi Bendahara Melaka - Utusan Malaysia

Hang Tuah milik Aqasha, pernah jadi Bendahara Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Aqasha disahkan menggalas tanggungjawab sebagai teraju utama menerusi watak Hang Tuah dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).

Aqasha atau  Firdee Akassya Rosli, 44, bukan asing dalam produksi berkenaan apabila pernah terlibat dalam PGLM kira-kira 20 tahun lalu menerusi watak Bendahara Melaka.

Malah, ketika itu dia turut diberi kepercayaan sebagai pelakon simpanan bagi karakter Hang Tuah.

“Sesetengah watak memang dipilih, namun ada pula seakan-akan sudah ditakdirkan.

“Dua puluh tahun lalu, Aqasha pertama kali melangkah ke dunia Puteri Gunung Ledang The Musical sebagai Bendahara Melaka sambil diam-diam menjadi ‘watak simpanan’ untuk Hang Tuah.

“Dua dekad kemudian, perjalanan itu kembali bertemu titik asal,” menurut kapsyen yang dikongsikan pihak produksi.

Produksi PGLM turut menyifatkan Aqasha sebagai individu paling tepat untuk menghidupkan karakter pahlawan Melayu itu kerana memiliki kekuatan, kematangan serta penghayatan emosi yang diperlukan.

“Hari ini, dia kembali menghidupkan salah satu figura paling ikonik dan disayangi dalam legenda Melayu, seorang pahlawan yang terikat dengan daulat, kesetiaan dan pengorbanan, namun tetap manusiawi di sebalik beban tanggungjawab.

“Bagi generasi baharu PGLM ini, kami mencari seorang artis yang bukan sahaja mampu membawa kekuatan dan karisma Hang Tuah, tetapi juga jiwa, kematangan serta emosi yang tulus,” katanya.

Sebelum ini, watak Hang Tuah pernah dijayakan dengan cemerlang oleh Stephen Rahman-Hughes.

Semalam, pihak produksi PGLM turut mengumumkan penyanyi Aisha Retno dan pelakon Mila Mohsin sebagai pemegang watak Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN