KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu mengesahkan isu salah laku seksual melibatkan seorang guru di sebuah sekolah di Setiu yang tular kini dalam tindakan siasatan pihak kementerian.
JPN Terengganu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan sedang dijalankan oleh Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut kenyataan itu, guru berkenaan telah ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sepanjang proses siasatan berlangsung.
“Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu ingin memaklumkan bahawa isu salah laku seksual di sebuah sekolah di negeri ini seperti yang tular sedang berada dalam siasatan Unit Integriti KPM.
“Guru berkenaan telah ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sementara proses siasatan sedang berjalan,” menurut kenyataan tersebut.
JPN Terengganu turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menyalurkannya kepada pihak jabatan bagi membantu siasatan. – UTUSAN










