KUALA LUMPUR: Penulis blog, Papagomo diperintah untuk membayar RM280,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anaknya kerana memfitnah mereka berkait membawa masuk wang RM2 juta ke Singapura tanpa mengisytiharkannya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Guan Eng dan anaknya, Clint Lim Whay Chau.
Daripada jumlah tersebut, Mahkamah memerintahkan Papagomo membayar ganti RM200,000 dibayar kepada Guan Eng manakala RM80,000 kepada Whay Chun.
Papagomo turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM40,000.
Pada 15 Oktober 2020, Guan Eng Lim dan Whay Chau selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris dan menuntut ganti rugi RM3 juta.
Saman itu merujuk satu hantaran Facebook didakwa dibuat Papagomo pada 14 Mac 2020.
Kedua-dua plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa pihak berkuasa Singapura telah menahan Way Chau atas kesalahan membawa masuk wang tunai RM2 juta ke negara itu tanpa membuat sebarang pengisytiharan selain mendakwa menipu seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk Seri Goh.
Dakwa mereka, kata-kata fitnah itu adalah tidak benar dan mencemarkan nama baik mereka selain mendakwa defendan gagal mengambil sebarang langkah untuk memastikan kebenaran kandungan penyataan fitnah sebelum menerbitkannya.
Dalam saman fitnah itu, Guan Eng dan anaknya menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan; faedah atas ganti rugi yang ditetapkan; kos serta perintah lain yang dianggap adil, wajar dan berpatutan oleh mahkamah. – UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL










