CAMERON HIGHLANDS: Lapan kanak-kanak lelaki Orang Asli berusia antara empat hingga 12 tahun berjaya diselamatkan selepas terkandas di atas batu susulan fenomena kepala air Sungai Menson berdekatan Kampung Orang Asli (KOA) Terisu, Kuala Terla petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.10 petang apabila kesemua mangsa dipercayai gagal menyeberangi Sungai Menson akibat arus deras dan peningkatan paras air secara mendadak.
“Balai Bomba dan Penyelamat di sini menerima panggilan kecemasan pukul 5.10 petang dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di lokasi pada pukul 5.47 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 15 kilometer dan mendapati semua mangsa berada di atas batu selepas paras air sungai meningkat secara mendadak,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Salahuddin, jarak mangsa dari tebing sungai dianggarkan kira-kira 20 meter dan keadaan arus sungai ketika itu deras.
Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan menggunakan tali penyelamat bagi membawa semua mangsa menyeberangi sungai ke kawasan selamat.
“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – UTUSAN










