PETALING JAYA: Syarikat infrastruktur digital global, Equinix Inc. merancang mengembangkan operasinya di Malaysia menerusi pembangunan pusat data International Business Exchange (IBX) baharu, KL2, di Kuala Lumpur dengan nilai pelaburan melebihi AS$190 juta (RM747 juta).
Pembangunan itu mencerminkan komitmen jangka panjang Equinix terhadap Malaysia susulan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital melibatkan perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) dan automasi operasi perniagaan.
Kemudahan baharu berkenaan akan dibina kurang satu kilometer daripada pusat data sedia ada syarikat di Cyberjaya, KL1, bagi mengukuhkan ekosistem pelanggan melibatkan penyedia rangkaian, platform awan dan perusahaan di negara ini.
Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn berkata, perluasan ini merupakan penanda aras penting dalam usaha syarikat untuk terus memacu ekonomi digital Malaysia.
“Dengan membekalkan infrastruktur sedia AI di Kuala Lumpur dan Johor secara bertanggungjawab, syarikat menyokong sepenuhnya agenda nasional dalam merealisasikan aspirasi AI negara.
“KL2 bukan sahaja akan membolehkan perniagaan memproses data lebih dekat dengan sumber dan melaksanakan Distributed AI dengan lebih tangkas, malah turut membantu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta meningkatkan daya tahan ekonomi negara untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
KL2 merupakan pusat data keempat Equinix di Malaysia dan sebahagian daripada pelan memperluaskan kapasiti infrastruktur digital syarikat di Kuala Lumpur serta Johor, termasuk pembangunan JH1 dan JH2.
Apabila siap sepenuhnya, KL2 dijangka menyediakan lebih 2,200 kabinet bagi memenuhi keperluan infrastruktur digital yang boleh diskalakan, berlatensi rendah dan mempunyai tahap ketersalinghubungan tinggi.
Equinix berkata, kemudahan itu bakal menyokong syarikat digital-native, berskala besar dan syarikat multinasional dalam meningkatkan skala operasi dengan lebih efisien selain membolehkan pelaksanaan AI Teragih dan hibrid berbilang awan merentasi ASEAN.
Menurut syarikat itu, pengembangan tersebut dilaksanakan ketika Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama inovasi digital dan AI di ASEAN, didorong inisiatif kerajaan seperti Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dan MyDIGITAL.
“KL2 turut akan disepadukan sepenuhnya ke dalam rangkaian global Equinix menerusi Equinix Fabric yang menghubungkan pusat data syarikat di Malaysia dengan kampus sedia ada di Singapura.
“Melalui teknologi Fabric Intelligence, pelanggan dijangka memperoleh cerapan berasaskan AI bagi mengoptimumkan penghalaan dan penggunaan lebar jalur secara dinamik untuk menyokong beban kerja AI berprestasi tinggi dan strategi data teragih di seluruh ASEAN,” jelasnya.
Secara global, Equinix mengendalikan lebih 280 pusat data di 77 pasaran merentasi 36 negara dan menyokong lebih 10,500 syarikat dalam transformasi digital mereka.
Di Asia Pasifik, syarikat itu mempunyai 65 pusat data meliputi pasaran utama termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India dan Australia. – UTUSAN









