MACHANG: Seramai enam warga India termasuk seorang wanita ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana disyaki memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dalam satu operasi khas di kawasan Stesen Bas Machang,di sini malam tadi.
Semua suspek berusia antara 21 tahun hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan di sekitar kawasan stesen bas berkenaan.
Katanya, pemeriksaan terhadap sekumpulan individu di lokasi terbabit mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau permit perjalanan yang sah.
“Seramai lima lelaki dan seorang wanita dipercayai warganegara India ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Siasatan awal mendapati kesemua individu terbabit mengaku memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di sekitar Bukit Bunga dengan bantuan seorang ejen dikenali sebagai ‘Sandhu Saab’,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, setiap individu dipercayai membayar kira-kira RM3,500 kepada ejen berkenaan untuk dibawa masuk ke negara ini.
Katanya, semua suspek juga mendakwa dijanjikan pekerjaan sebagai pekerja hotel di Kuala Lumpur oleh seorang individu lain dikenali sebagai ‘Dibi’.
“Semua tangkapan dibawa ke IPD Machang sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) untuk tindakan lanjut. Kesemua mereka kini ditahan di lokap IPD Machang sehingga siasatan selesai,” katanya. – UTUSAN










