Elaun pasca cuti bersalin jaga kebajikan wanita bekerja - MAWIM

Elaun pasca cuti bersalin jaga kebajikan wanita bekerja – MAWIM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengenalan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) disifatkan sebagai langkah signifikan dalam menjaga kebajikan wanita, khususnya golongan ibu yang kembali bertugas selepas melahirkan anak. 

Pengerusi Majlis Wanita Islam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MAWIM), Prof. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain berkata, inisiatif itu bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya langkah penting dalam membina ekosistem kerja yang lebih mesra keluarga dan mampan.

Menurutnya, elaun tersebut mampu meringankan beban golongan ibu yang kembali bertugas selepas tempoh cuti bersalin, selain membantu kestabilan emosi dan kestabilan institusi keluarga.

“Dalam semangat Malaysia Madani yang menjunjung nilai ihsan, kesejahteraan dan keadilan sosial, elaun ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembinaan ekosistem kerja yang lebih mesra keluarga. 

“Malah, inisiatif ini mengangkat martabat wanita sebagai tonggak pembangunan negara tanpa mengorbankan peranan mereka sebagai pendidik generasi,” katanya dalam kenyataan. 

Zuriati berkata, usaha itu turut selari dengan nilai Islam yang menitikberatkan kebajikan wanita, perlindungan keluarga serta keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab rumah tangga.

Katanya, pendekatan tersebut bukan hanya dasar kebajikan, tetapi pelaburan jangka panjang dalam memperkukuh modal insan serta melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera.

“Kami berharap lebih banyak inisiatif seumpamanya dapat diperkenalkan demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan EPCB iaitu elaun bantuan kewangan sehingga 80 peratus daripada gaji bulanan bagi cuti tambahan sehingga 30 hari yang diambil selepas tamat tempoh cuti bersalin wajib sebanyak 98 hari.

EPCB itu akan diperkenalkan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerja 2017 dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN