Perlindungan Perkeso pekerja Malaysia di Singapura dijangka bermula tahun ini

Perlindungan Perkeso pekerja Malaysia di Singapura dijangka bermula tahun ini

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja Malaysia di luar negara khususnya di Singapura, dijangka dilaksanakan tahun ini selepas kelulusan Parlimen diperoleh.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerajaan komited mempercepatkan pelaksanaan skim itu demi memastikan kebajikan pekerja rentas sempadan terus dilindungi secara menyeluruh.

Menurutnya, rang undang-undang (RUU) berkaitan akan dibentangkan selepas mendapat kelulusan Kabinet sebelum dibahaskan di Parlimen dalam masa terdekat bagi tujuan penguatkuasaan segera.

“Langkah itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan semua pekerja termasuk di luar negara menerima perlindungan sosial setara seperti dinikmati pekerja domestik.

“Masalah seperti tekanan kerja, beban tugas dan keseimbangan kehidupan memerlukan perhatian segera kerana ia memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan mental pekerja,” katanya dalam sidang akhbar Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, UNIFI Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, kerajaan bercadang memperluaskan perlindungan Perkeso kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara khususnya pekerja rentas sempadan bermula dengan Malaysia-Singapura.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan apabila secara purata satu kematian direkodkan setiap minggu atau 54 kes setahun dalam kalangan pekerja rentas sempadan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pekerja dalam sektor ekonomi gig juga tidak akan dipinggirkan, sebaliknya dimasukkan sebagai sebahagian daripada skop perlindungan kementerian.

Walaupun akta berkaitan ekonomi gig masih baharu, kerajaan telah menyediakan garis panduan jelas kepada majikan dan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin.

“Pihak majikan perlu mematuhi panduan yang ditetapkan bagi memastikan persekitaran kerja selamat dan kondusif, termasuk kepada pekerja gig yang semakin berkembang dalam ekonomi semasa,” katanya.

Tambah Khairul Firdaus, kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas termasuk siasatan jika menerima laporan berkaitan ketidakpatuhan majikan terhadap peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Katanya, penekanan terhadap kepentingan aspek aspek seperti tekanan kerja, beban tugas, keseimbangan kehidupan dan hubungan di tempat kerja perlu diurus dengan baik bagi mengelakkan kesan negatif terhadap kesihatan mental pekerja.

“Kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas termasuk siasatan menyeluruh jika menerima laporan berkaitan ketidakpatuhan majikan terhadap peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Usaha memperkukuh kerangka perundangan termasuk melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta pelaksanaan pelan strategik negara akan terus dipertingkatkan secara berterusan.

“Oleh itu, kerjasama semua pihak termasuk kementerian, agensi, majikan dan pekerja amat penting dalam memastikan setiap dasar yang dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN