Tidak dukung elitisme hingga pinggir bumiputera

Tidak dukung elitisme hingga pinggir bumiputera

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mendukung elitisme hingga meminggirkan kepentingan bumiputera seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agenda bumiputera terus diperkasa dan dilaksanakan lebih lantang, tegas dan berani sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Beliau berkata, dalam kerangka dasar lebih besar, kerajaan tetap mengimbangi antara pengiktirafan merit dan keperluan menjaga kepentingan majoriti.

Katanya, ia termasuklah keputusan memberi tempat secara automatik ke universiti kepada pelajar yang memperoleh keputusan 10A.

“Dalam masa yang sama, 90 peratus anak bumiputera turut diberikan peluang melalui program matrikulasi, sekali gus mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan.

“Justeru, dalam perbahasan, jangan hanya memilih satu aspek sahaja tanpa melihat keseluruhan dasar secara menyeluruh, jangan cetuskan persepsi persaingan ‘zero-sum game’ (permainan sifarjumlah),” katanya dalam ucapan sempena Majlis Sambutan 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut memberi jaminan dasar pokok itu tidak berubah, namun perlu ada kewarasan dan kebijaksanaan dalam melaksanakan sesuatu agenda.

Katanya, ia disebabkan Malaysia harus terus aman dengan menggarap kekuatan semua pihak dan memberi ruang supaya dapat memastikan setiap warganegara berasa selesa dengan diberi pengiktirafan sewajarnya.

“Itu prasyarat tetapi negara ini tidak akan berganjak daripada dasar ‘justice as fairness’ (keadilan sebagai kesaksamaan) memberi ruang dan keadilan terutama bagi masyarakat terpinggir, yang terabai dan faham bahawa tidak mungkin ada kestabilan politik, kalau tidak terjamin masyarakat, (jika) majoriti yang rata-rata lebih miskin,” katanya.

Anwar berkata, sepanjang tiga tahun pentadbiran, pelbagai keputusan penting termasuk bersifat kontroversi berjaya dicapai antaranya pengisytiharan Tanah Rizab Melayu yang merupakan antara langkah pertama seumpamanya dilakukan sejak 1997.

“Dalam pendidikan, peranan Mara terus diperkukuh dengan peningkatan peruntukan kepada RM43 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 1.8 juta pelajar termasuk melalui pendekatan seperti Ulul Albab, yang membuktikan pelajar bumiputera mampu cemerlang dalam sistem pendidikan yang menyeluruh serta seimbang antara ilmu moden dan nilai agama,” katanya.

Daripada sudut ekonomi, beliau menarik perhatian mengenai perkembangan positif pendapatan isi rumah bumiputera yang meningkat lebih 10 peratus daripada sekitar RM6,300 pada 2022 kepada RM7,000 pada 2024, meskipun mengakui masih wujud jurang yang perlu diberi perhatian.

Katanya, selain mengutamakan pembasmian kemiskinan tegar yang kini membuahkan hasil di Pahang dan Perak, kerajaan turut menambah peruntukan pembangunan bagi negeri-negeri relatif lebih miskin, termasuk yang tidak bersama Kerajaan Persekutuan menerusi peningkatan peruntukan yang signifikan.

Anwar berkata, peruntukan kepada kementerian berkaitan luar bandar turut ditingkatkan manakala kadar pengangguran mencatat penurunan ke paras terendah dalam tempoh 10 tahun.

“Kerajaan turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor bernilai tinggi, melalui kerjasama agensi seperti Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Selain itu, kerajaan menyasarkan penguasaan bumiputera menjelang 2035 menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN