JOHOR BAHRU: Notis memanggil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selama sehari pada 22 Jun ini menguatkan spekulasi bahawa pembubaran DUN mungkin berlaku hujung bulan depan, seterusnya membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Perkembangan itu hanya kira-kira dua minggu selepas Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri mengumumkan parti itu akan bertanding solo di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
Ini bermakna jika pembubaran DUN itu menjadi kenyataan, PRN Johor dijangka diadakan selewat-lewatnya Ogos selaras Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.
Senario itu jelas menunjukkan Johor bakal menjadi medan penanda aras buat BN dan UMNO mengukur sokongan pengundi, kemudiannya disusuli dengan PRN Melaka serta PRU16.
Sumber dalam BN mendedahkan, pembubaran DUN Johor dijangka berkuat kuasa pada 24 Jun.
“Ya, beberapa pemimpin lain sudah dimaklumkan mengenai perkara ini,” dedahnya.
Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengesahkan mereka menerima satu dokumen pekeliling bertarikh 29 Mei 2026 yang dikeluarkan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor.
Ia bagi memaklumkan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 bakal berlangsung pada Isnin, 22 Jun 2026.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz ketika dihubungi Utusan Malaysia menyatakan keyakinan, pembubaran DUN akan dibuat beberapa hari selepas sidang DUN khas itu diadakan.
“Kemungkinan DUN Johor akan dibubarkan pada 24 Jun. Pas Johor sedia hadapi PRN dan juga PRU pada bila-bila masa kerana kita sudah rasmikan pelancaran jentera pada 3 April lalu.
“Insya-Allah, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN sebagai komitmen kami kepada rakyat. Realistiknya kami berazam untuk mengurangkan majoriti dua pertiga BN di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi PN negeri berkata, notis berkenaan diterimanya pagi semalam ketika menghadiri program korban sempena Hari Raya Aidiladha.
“Saya sendiri tidak pasti tujuan sidang DUN itu, kerana tiada apa-apa kenyataan dimaklumkan bersama surat yang diterima ADUN. Arahan diberi juga mengatakan tiada soalan akan diterima.
“Jika benar ia berkenaan dengan pelaksanaan PRN, kami bersedia PN Johor bersama jenteranya telah bersiap sedia untuk itu, kami juga akan bertanding di kesemua 56 kerusi,” katanya.
Sementara itu, panggilan sidang itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan ADUN Pakatan Harapan (PH) yang mempertikai keperluan sesi berkenaan diadakan.
ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, tidak pernah berlaku sidang DUN diadakan berturut-turut dalam tempoh dua bulan, kecuali berkaitan kepentingan awam.
“Tidak pernah ada sidang dewan berturut-turut dua bulan. Kali ini, hanya satu hari. Tidak ada sesi soal jawab.
“Sebenarnya, dewan boleh dibubarkan tanpa memanggil sidang. Kalau bukan untuk bubar Dewan Negeri Johor. Jadi, apakah agenda sidang dewan kali ini,” katanya.
Pada 17 Mei lalu, tular mesej melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan kerajaan negeri akan memanggil kesemua 56 ADUN untuk sidang DUN khas pada 24 Jun.
Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali enggan mengesahkan khabar angin itu.
“Tidak pasti (sidang DUN khas). Minit mesyuarat perbincangan sekiranya ada juga tidak pasti,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu ketika ditemui di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru, Johor.
Beliau sebaliknya hanya meminta izin untuk melepasi pemberita yang menunggu di pekarangan premis berkenaan.
“Media tahu sahaja bila ada mesyuarat seperti ini, tumpang lalu ya. Selamat hari raya,” katanya ringkas. – UTUSAN










