PETALING JAYA: Pelakon, Amir Ahnaf mengakui perjalanan hidupnya sebelum bergelar anak seni bukanlah mudah, malah pernah berdepan detik putus asa ketika bekerja di kedai serbaneka dan kilang.
Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, berkata, dia juga pernah menyewa bilik di Bukit Beruntung pada kadar RM150 sebulan demi meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya pernah bekerja di sebuah kedai serbaneka selama empat bulan. Tugas saya ketika itu mengangkat barang dari lori dan menanda stok yang sudah sampai. Selepas itu, saya beralih menjadi pekerja kilang.
“Di kilang, saya mengendalikan forklift untuk menyusun produk dari lori ke rak tinggi dalam gudang. Selain itu, saya juga pernah ditempatkan di bahagian pembungkusan semula barangan,” katanya menerusi temu bual dalam audio siar Sembang Seram.
Menurut Amir, dalam tempoh tersebut, dia pernah berasa hilang arah tuju, namun tetap reda menjalani kehidupan sebagai pekerja kilang. Situasi itu menjadi lebih mencabar apabila negara dilanda pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ketika itu memang rasa tiada hala tuju, tetapi saya terima sahaja. Ibu dan ayah ada menghubungi saya, menyuruh pulang ke Terengganu, namun disebabkan PKP, saya tidak boleh ke mana-mana.
“Dalam perbualan itu, saya berterus terang. Saya beritahu mereka, sebenarnya saya mahu menjadi penyanyi dan ingin jadi ‘seseorang’.
“Sejak kecil, saya sudah menyimpan impian untuk masuk televisyen kerana saya mempunyai karakter sebagai penglipur lara yang gemar membuat persembahan dan melihat reaksi orang terhadap lakonan saya,” ujarnya.
Mengulas penglibatannya dalam program Hero Remaja 2021, Amir yang merupakan anak jati Terengganu berkata, penyertaannya didorong oleh rakan-rakan, selain latar belakangnya yang aktif dalam dunia teater ketika zaman pengajian.
Baginya, bidang lakonan menjadi medium terbaik untuk mengekspresikan diri berbanding nyanyian yang dirasakan mempunyai batasan emosi.
“Berlakon adalah cara saya melepaskan emosi. Melalui lagu atau lirik, saya rasa tidak puas. Tetapi menerusi lakonan, saya boleh meluahkan emosi marah, sedih dan gembira tanpa perlu dihakimi. Itulah kepuasan sebenar bagi saya.
“Saya mengetahui terpilih sebagai finalis selepas solat tarawih apabila menerima panggilan telefon. Bukan mudah untuk menyertai Hero Remaja, namun itu hanya permulaan. Dunia sebenar bermula selepas program berakhir.
“Ketika itu, Nadhir Nasar banyak membantu ‘menjual’ nama saya bersama Mierul Aiman kepada pihak Astro untuk Projek: High Council. Dari situ, kehidupan saya mula berubah,” katanya. -UTUSAN










