'Pengalaman dalam penjara Z memang perit, sentiasa rasa takut'

‘Pengalaman dalam penjara Z memang perit, sentiasa rasa takut’

SERAMAI 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai GSF 2.0 diculik di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Pengalaman dalam penjara Z (Zionis) memang perit. Sentiasa rasa takut, diseret dan disepak. Untuk kejutkan kami daripada tidur, mereka mencampakkan flashbang hingga telinga berdesing.”

Demikian antara pengalaman getir yang dikongsikan seorang aktivis Malaysia, Muhamad Muhsin Zaidi yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 selepas mendakwa berdepan layanan kasar sepanjang ditahan oleh rejim Israel.

Muhsin berkata, pengalaman tersebut bukan sahaja menakutkan malah meninggalkan kesan penderitaan fizikal dan mental.

Beliau turut ditempatkan dalam keadaan tidak selesa sepanjang tempoh tahanan.

“Kami ditempatkan dalam kontena secara berhimpit tanpa selimut dan bantal. Waktu malam pula amat sejuk,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Muhamad Muhsin, tindakan rejim Israel memintas flotila tersebut adalah tidak sah kerana berlaku di perairan antarabangsa.

“Seperti saya nyatakan beberapa jam sebelum kami ditahan, Z tidak mempunyai hak untuk menyentuh bot kami kerana kami berada di perairan antarabangsa. Apa yang dilakukan itu sangat salah dan bertindak sesuka hati,” katanya.

Katanya lagi, rejim berkenaan boleh ditekan melalui gerakan antarabangsa seperti GSF yang digerakkan oleh orang awam ke Gaza.

“Sebenarnya rejim ini boleh dicabar dan diberi tekanan. Apabila dicabar, mereka akan menjadi perlahan dan akur. Itulah tujuan GSF,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF 2.0 ditahan dan dibawa ke Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Greece.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN