PUTRAJAYA: Dua warganegara Malaysia disahkan terkesan dalam kejadian sebuah bangunan runtuh di bandar Angeles, utara ibu negara Manila, Filipina pada hari ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, seorang daripadanya disahkan selamat, manakala seorang lagi belum dapat dipastikan statusnya buat masa ini.
Dalam hal ini, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat.
“Pada masa yang sama, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kepada kedua-dua individu berkenaan.
“Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Manila juga sedang giat mengumpul maklumat sahih menerusi pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di lapangan,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera, atau pihak yang ingin menyalurkan maklumat mengenai warganegara Malaysia lain yang kemungkinan berada di kawasan berkenaan, digesa untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila.
Kementerian Luar Negeri akan terus menyalurkan maklumat lanjut seiring dengan perkembangan situasi dan setelah maklumat sahih diperoleh.
Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Am: +63 286628200, Kecemasan Selepas Waktu Pejabat: +63 961 0778113
E-mel: [email protected]. – UTUSAN










