PETALING JAYA: DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) mencatatkan lonjakan keuntungan bersih lebih dua kali ganda kepada RM45 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM17.72 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Prestasi lebih kukuh itu disumbangkan oleh peningkatan sumbangan daripada segmen mobiliti, pos, dan perbankan yang disokong oleh pertumbuhan jualan serta kecekapan kos yang lebih baik.
Hasil kumpulan turut meningkat 15.74 peratus kepada RM4.76 bilion berbanding RM4.11 bilion sebelumnya, namun kumpulan tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku dalam semakan.
Syarikat itu berkata, pertumbuhan keuntungan segmen mobiliti dipacu oleh peningkatan jumlah jualan Proton Holdings Bhd (Proton), selain sumbangan lebih kukuh daripada perniagaan aeroangkasa susulan pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn Bhd pada Disember 2025.
“Bagi segmen perbankan menerusi Bank Muamalat Malaysia Bhd, prestasi bertambah baik disokong pendapatan pembiayaan lebih tinggi hasil pertumbuhan volum pembiayaan dan peningkatan asas pelanggan.
“Sementara itu, segmen pos di bawah Pos Malaysia Bhd mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah penghantaran kurier, sumbangan logistik lebih kukuh, serta pertambahan aktiviti berkaitan penerbangan,” katanya.
Mengenai prospek tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, DRB-Hicom menjangkakan prestasi sederhana di tengah-tengah cabaran kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, Proton mengekalkan momentum kukuh pada suku pertama tahun ini dengan jualan meningkat 40.1 peratus tahun ke tahun kepada 49,140 unit, disokong oleh pertumbuhan portfolio kenderaan elektrik (EV).
“Strategi elektrifikasi Proton terus mendapat sambutan dengan model e.MAS 5 muncul sebagai EV paling laris di Malaysia apabila mencatat jualan sebanyak 6,701 unit setakat tahun ini.
“Kenaikan kos bahan api dan rasionalisasi subsidi juga dijangka terus memacu permintaan terhadap penyelesaian mobiliti yang lebih cekap tenaga,” katanya.
Dalam segmen perbankan, DRB-Hicom terus memperkukuh francais kewangan Islam selain memperluas usaha pendigitalan menerusi platform digital patuh syariah ATLAS milik Bank Muamalat.
Bagi segmen pos pula, Pos Malaysia kekal memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kerugian menerusi pelan transformasi yang melibatkan rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital, dan pengurusan kos lebih ketat.
“Pada masa sama, kumpulan terus mempercepat agenda pendigitalan merentasi semua perniagaan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan prestasi keseluruhan,” tambahnya. –UTUSAN










