Mahsuri Food lancar kilang automasi moden di Bandar Enstek - Utusan Malaysia

Mahsuri Food lancar kilang automasi moden di Bandar Enstek

Aminuddin Harun (tengah) diiringi Mohd Roslan Mahayudin (tiga kiri) ketika menandatangani plak perasmian pembukaan kilang Mahsuri Food pada Majlis Perasmian Kilang Perusahaan Syarikat Mahsuri Food Sdn Bhd di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahsuri Food Sdn. Bhd. (Mahsuri), pengeluar produk sos dan bahan perasa halal tempatan, merasmikan kilang baharu yang dilengkapi teknologi automasi moden dalam proses pengeluaran di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Fasiliti dibangunkan di atas tanah seluas 45,000 meter persegi dengan keluasan binaan sekitar 288,000 kaki persegi itu turut menggunakan sistem kawalan penapaian bagi memastikan konsistensi rasa, aroma dan kualiti produk.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kehadiran industri makanan halal seperti Mahsuri Food dijangka memberi limpahan ekonomi yang signifikan kepada Negeri Sembilan menerusi pengukuhan rantaian bekalan tempatan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan sektor sokongan industri.

Katanya, pembangunan industri berimpak tinggi seperti Mahsuri bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat itu sendiri, malah turut merangsang aktiviti ekonomi setempat melibatkan pembekal tempatan, sektor logistik, kontraktor, penyedia perkhidmatan dan peniaga kecil di kawasan sekitar. 

“Negeri Sembilan memiliki pelbagai kelebihan strategik termasuk lokasi berhampiran Lembah Klang, akses kepada pelabuhan dan lapangan terbang, kawasan industri berpotensi serta tenaga kerja yang boleh terus dibangunkan.

“Kita mahu pelaburan yang mencipta pekerjaan, membangunkan bakat, membawa teknologi dan meningkatkan daya saing Negeri Sembilan untuk jangka panjang.

“Kejayaan pelaburan Mahsuri dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat untuk melabur di Negeri Sembilan, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti industri halal, teknologi makanan dan pembuatan moden,” katanya selepas merasmikan Kilang Mahsuri Food di Bandar Enstek di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, pelaburan dalam teknologi automasi ini merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk mempertingkatkan standard pengeluaran.

Ujarnya, kilang baharu itu dapat memastikan produk yang dihasilkan terus menepati jangkaan tertinggi pengguna dari segi rasa, kualiti, keselamatan makanan serta pematuhan halal yang ketat. 

“Mahsuri komited untuk menyediakan produk berkualiti tinggi kepada pengguna dan menerapkan amalan halal dalam seluruh operasinya, daripada pemilihan bahan mentah, kawalan proses, kebersihan dan penyimpanan, hingga kepada produk akhir yang sampai kepada pengguna. 

“Produk kami kini telah menembusi beberapa pasaran antarabangsa termasuk Asia Tenggara, Asia Barat dan Indi jadi dengan fasiliti baharu ini, syarikat yakin mampu memenuhi peningkatan permintaan global terhadap produk halal berkualiti tinggi yang dihasilkan di Malaysia.

“Pelaburan ini juga dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor pembuatan tempatan, meningkatkan keupayaan eksport dan menarik pelaburan bernilai tinggi ke negara ini,” katanya.

Menurut Mohd. Roslan,  antara ciri utama fasiliti baharu Mahsuri ialah pengenalan “Rotary Koji Making Machine” dalam pengeluaran kicap iaitu antara teknologi utama dalam proses pembuatan kicap.

“Teknologi canggih ini membolehkan kawalan suhu, kelembapan dan pengudaraan yang tepat semasa penghasilan koji, satu langkah penting dalam proses penapaian semula jadi bagi kicap.

“Dengan peningkatan dari segi ketepatan dan kestabilan proses, teknologi berkenaan dijangka dapat memperkukuh konsistensi pengeluaran, meningkatkan kecekapan operasi serta menambah baik kualiti keseluruhan kicap. 

“Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Mahsuri dalam industri pembuatan makanan halal moden yang berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, kilang di Bandar Enstek ini mematuhi keperluan pensijilan halal selain turut mengamalkan piawaian keselamatan makanan antarabangsa seperti pensijilan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan ISO 22000. 

“Sistem jaminan halal yang menyeluruh dilaksanakan merangkumi pemilihan bahan mentah, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan hingga pengedaran produk,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN