Dua kod baharu ONSA lindungi kanak-kanak

Dua kod baharu ONSA lindungi kanak-kanak

KOD baharu di bawah Akta Ke­selamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) berkuat kuasa pada 1 Jun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform digital kini tidak boleh mengambil ringan soal keselamatan kanak-kanak dalam talian apabila dua kod baharu di bawah Akta Ke­selamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) berkuat kuasa pada 1 Jun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, dua kod itu ialah Kod Per­lindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang bertujuan memper­kukuh perlindungan kanak-ka­nak dan mengurangkan risi­ko kandungan memudaratkan.

CPC memberi tumpuan kepa­da perlindungan khusus untuk kanak-kanak, manakala RMC pu­­la menekankan langkah pe­ngurangan risiko kandungan me­­­mudaratkan yang perlu di­lak­­sa­nakan penyedia perkhidmatan.

MCMC dalam kenyataan di sini semalam berkata, kedua-dua kod tersebut diterbitkan susulan sesi libat urus bersama pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan berkaitan, termasuk rundingan awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.

Katanya, pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak.

Kod tersebut turut mene­tapkan tanggungjawab lebih jelas kepada penyedia perkhidmatan dalam menangani kandungan memudaratkan di platform masing-masing.

“CPC memastikan perkhidmatan digital yang digunakan kanak-kanak lebih selamat, bersesuaian dengan umur dan tidak mendedahkan golongan itu kepada kandungan memudaratkan.

“Menerusi CPC, penyedia perkhidmatan perlu mene­rapkan prinsip keselamatan melalui binaan atau safety-by-design bagi kanak-kanak.

“Penyedia perkhidmatan juga perlu mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna di bawah usia 16 tahun,” katanya.

Sementara itu, RMC pula memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kandungan memudaratkan dalam talian melalui langkah pemantauan, pelaporan dan tindak balas yang lebih berkesan oleh penyedia perkhidmatan.

“Oleh itu, penyedia perkhid­matan perlu menyediakan saluran aduan yang berkesan dan perlu mengambil tindakan segera sekiranya menerima sebarang laporan daripada pengguna,” katanya.

CPC dan RMC akan berkuat kuasa pada 1 Jun dan tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada penyedia perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan dijalankan dengan teratur.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof. Madya Dr. Mohd. Al Adib Samuri berkata, cabaran utama pelaksanaan CPC dan RMC adalah memastikan semua platform digital benar-benar mematuhi kod berkenaan, bukan sekadar menyatakan komitmen.

“Penyedia platform perlu bertindak segera terhadap kandungan berbahaya dan menyediakan saluran aduan yang mudah digunakan.

“Selain itu, mereka juga perlu memastikan ciri seperti mesej peribadi dan cadangan video tidak mendedahkan kanak-kanak kepada risiko.

“Tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan kepada ibu bapa dan kanak-kanak sahaja. Platform juga mesti bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Mohd. Al Adib, kod tersebut boleh membantu menangani kandungan berbahaya di media sosial sekiranya dilaksanakan secara serius dan disokong pemantauan yang kuat.

Katanya, banyak kandungan berbahaya hari ini bukan dicari oleh kanak-kanak, sebaliknya muncul melalui cadangan vi­deo, pautan yang dikongsi atau kandungan tular.

Beliau berkata, pelaksanaan kod itu juga perlu mengimbangi aspek keselamatan digital dan kebebasan pengguna memandangkan kanak-kanak masih memerlukan ruang untuk belajar, berhubung dengan keluarga dan rakan serta mencari maklumat.

“Pendekatan terbaik bukan menyekat sepenuhnya akses kanak-kanak kepada internet, sebaliknya memastikan platform berisiko seperti media sosial dikawal dengan lebih baik.

“Jika dilaksanakan de­ngan berkesan, kod ini mampu melindungi kanak-kanak dan remaja daripada buli siber, penipuan, kandungan lucah, pemangsa dalam talian serta kandungan yang boleh menjejaskan emosi dan keselamatan diri,” katanya.

Isu buli siber dan gangguan dalam talian tinggi apabila sebanyak 59,290 permohonan tindakan telah dibuat MCMC dari tahun 2022 hingga April lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 44,676 kandungan diturunkan oleh platform berkaitan demi melindungi emosi dan keselamatan pengguna Internet, khususnya golongan rentan dan kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN