PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menggesa kerajaan mengiktiraf sumbangan sistem pendidikan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) terhadap pembangunan negara serta melaksanakan reformasi pendidikan yang lebih inklusif dan adil.
Pengerusinya, Datuk Tan Yew Sing berkata, pendekatan semasa kerajaan terhadap lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) masih memperlihatkan pelbagai kekangan yang boleh menjejaskan peluang pendidikan pelajar SMPC.
Menurutnya, kerajaan harus meninggalkan pertimbangan politik yang sempit serta sikap konservatif mengongkong pembaharuan dasar, sebaliknya mengamalkan pendekatan lebih progresif dan terbuka demi merealisasikan kesaksamaan pendidikan serta membendung penghijrahan bakat berterusan.
“Kami berpandangan bahawa kerajaan seharusnya bersikap lebih terbuka, menghargai sumbangan pendidikan SMPC dan melaksanakan pembaharuan sistem yang substantif bagi memastikan akses pendidikan yang inklusif dan adil, agar penghijrahan bakat tempatan dapat dikurangkan.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendakwa bahawa peluang pendidikan yang inklusif, adil dan berkualiti disediakan kepada semua pelajar yang layak. Pada zahirnya, kenyataan itu seolah-olah menunjukkan penerimaan terhadap pelajar UEC ke dalam sistem IPTA.
“Namun hakikatnya, kemasukan pelajar UEC masih terikat kepada kerangka penilaian sistem pendidikan kebangsaan, apabila mereka tetap perlu bergantung kepada keputusan penuh SPM serta kombinasi mata pelajaran tertentu bagi tujuan pengiraan merit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yew Sing berkata, terdapat dua mekanisme berbeza yang dikenakan terhadap pelajar UEC sehingga menimbulkan persoalan mengenai rasional pelaksanaannya.
Katanya, pemegang UEC yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh dibenarkan memohon semua program pengajian melalui sistem UPUOnline.
“Namun, pelajar yang hanya mengambil dan lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM pula dihadkan kepada empat program pengajian berkaitan bahasa Cina sahaja,” katanya. – UTUSAN










