GEORGE TOWN : Jabatan Perikanan (DOF) Pulau Pinang hari ini melaksanakan persampelan semula bagi tujuan pemantauan terhadap parameter kritikal termasuk biotoksin, logam berat dan status kualiti air di Sungai Juru.
Tindakan segera itu diambil susulan laporan berita mengenai pencemaran serta gangguan kualiti air di kawasan sungai berkenaan yang dikatakan berpotensi menjejaskan sektor perikanan serta akuakultur marin di kawasan berkenaan.
Pada masa yang sama, tindakan tersebut juga bertujuan memastikan keselamatan terhadap hasil perikanan serta menyokong pelaksanaan analisis trend pencemaran yang lebih menyeluruh dan berasaskan data.
Menurut Pengarah DOF Pulau Pinang, Azimah Jumatli, kawasan Sungai Kuala Juru merupakan antara zon pengeluaran hasil laut penting di Pulau Pinang dengan kawasan ternakan kerang seluas 567 hektar yang melibatkan 27 lot ternakan aktif.
Sehubungan itu, pihaknya prihatin terhadap kebajikan komuniti perikanan setempat yang melibatkan 209 nelayan marin serta pengusaha akuakultur yang terkesan akibat gangguan terhadap aktiviti dan hasil pengeluaran.
“Ketika ini, pemantauan turut dijalankan terhadap tujuh pengusaha ternakan ikan siakap dan udang putih dengan keluasan keseluruhan 72.69 hektar di situ.
“Pada masa yang sama, penilaian terperinci sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti implikasi ekonomi serta anggaran kerugian yang dialami oleh pengusaha terlibat bagi tujuan dokumentasi dan tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia memetik kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader sebagai berkata, tahap pencemaran di Sungai Juru ketika ini semakin serius dan jika gagal ditangani segera, ia boleh menjejaskan mata pencarian komuniti penternak kerang serta nelayan di kawasan terbabit.
Dalam pada itu, Azimah berkata, DOF Pulau Pinang memahami kebimbangan yang dihadapi oleh komuniti terbabit dan berusaha memastikan agar persekitaran perairan kembali berada pada tahap yang selamat serta kondusif agar aktiviti perikanan dan akuakultur marin dapat diteruskan secara mampan.
Katanya, bagi tujuan itu, beberapa analisis sedang dijalankan termasuk analisis makmal yang dibuat secara menyeluruh bersama Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung serta Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan kualiti air tersebut.
“Pihak jabatan turut memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan serta pihak berkuasa negeri dalam mempertingkat pemantauan, penguatkuasaan dan pelaksanaan langkah mitigasi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
“Langkah susulan akan diteruskan secara berfokus bagi melindungi kebajikan komuniti perikanan dan akuakultur di Kuala Juru melalui pendekatan bersepadu bagi memastikan kelestarian sumber perikanan, keterjaminan makanan negara serta kesejahteraan komuniti nelayan dan penternak dalam jangka panjang,” katanya.-UTUSAN










