Ahmad Samsuri layak, Sanusi lebih sesuai kemudi PN tuju PRU16?

Ahmad Samsuri layak, Sanusi lebih sesuai kemudi PN tuju PRU16?

AHMAD SAMSURI MOKHTAR dan MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH setahun lalu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil tindakan drastik melepaskan jawatan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Terengganu itu yang juga Naib Presiden Pas memaklumkan keputusan berkenaan menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepemimpinan Pas tanpa menyatakan sebab berbuat demikian.

Keputusan tersebut disifatkan sebagai mengejutkan memandangkan beliau dilihat antara tonggak utama Pas yang merupakan antara parti komponen dalam PN. Peletakan jawatan itu juga bermakna beliau bukan lagi Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN.

Ramai melihat Ahmad Samsuri membuat keputusan itu berpunca daripada keretakan dalam PN walaupun beliau menafikannya. Tiga hari sebelum itu, Majlis MT PN yang bermesyuarat pada 9 Disember 2024 mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang kesemuanya kekal menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahmad Samsuri memberi bayangan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN adalah satu tindakan yang betul dan dilakukan pada masa yang tepat. Beliau memuat naik satu petikan dari pemain bola keranjang terkenal, Kareem Abdul-Jabbar di akaun Facebook rasminya: “Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah.”

Isu peletakan jawatan itu kemudian tenggelam apabila Ahmad Samsuri menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi Pas menguruskannya manakala pemimpin parti itu mengunci mulut daripada membuat ulasan.

Namun, Ahmad Samsuri yang mempunyai imej teknokrat dan profesional sekali lagi mencuri tumpuan pada September lalu apabila beliau membuat kenyataan bahawa sudah tiba masa­nya Pas mengambil alih tampuk kepemimpinan PN secara muafakat politik.

Beliau berkata, memper­kukuh kerjasama dalam PN dan memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) menjadi keutamaan sekali gus membuka ruang parti itu mengetuai blok pembangkang. Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan selaku Pengerusi PN pada 1 Januari lalu membuka ruang kepada Pas yang memutuskan akan menerajui gabungan itu menuju PRU16.

Difahamkan, pemimpin Pas mengadakan mesyuarat khas kelmarin sebelum Ahmad Samsuri mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dengan ‘membawa mandat’ Presiden Pas yang mencetuskan spekulasi pelantikan beliau sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Ada juga yang melihat pertemuan berkenaan bagi ‘memulihkan’ hubungan antara Ahmad Samsuri-Muhyiddin rentetan peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu itu sebagai Bendahari Agung PN dan desakan beliau supaya Pas mengambil alih kepemimpinan PN tatkala Muhyiddin masih mempengerusikannya.

Ramai memperakui Ahmad Samsuri layak dan berkaliber mengetuai PN namun apakah beliau benar-benar calon paling sesuai mengemudi gabungan itu menuju PRU16 yang berlangsung hanya dalam tempoh dua tahun lagi.

Dalam berdepan proses demokrasi, panglima perang atau pengarah pilihan raya adalah jawatan penting bagi sesebuah organisasi politik. Di dalam PN, posisi itu disandang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang sudah membuktikan kepemimpinannya membantu PN meraih kejayaan besar khususnya di Kedah pada pilihan raya lalu.

Jolokan ‘Panglima Perang’ diberikan penyokongnya mencerminkan imejnya sebagai tokoh kuat dan popular yang berani menghadapi cabaran arus politik. Kejayaannya di Kedah mengukuhkan gelaran ini yang menandakan kepemimpinannya berkesan dalam meraih sokongan rakyat.

Walaupun beliau menolak jawatan Pengerusi PN meskipun namanya dicalonkan, gabungan itu wajar mempertimbang untuk tetap meletakkan Muhammad Sanusi di posisi berkenaan sekurang-kurang bagi menghadapi PRU16. Beliau dilihat calon paling sesuai membawa jentera PN berdepan proses demokrasi itu kali ini.

Selaku ‘panglima’, Muhammad Sanusi tidak seharusnya berundur awal jika diamanahkan membawa atau mengibarkan panji perang PN menjelang PRU16. Namun terserah kepada MT PN yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk memilih sama ada ahli politik bertaraf ‘panglima perang’ atau seorang teknokrat menerajui gabungan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN