PENGURUSAN dana awam merupakan antara tunjang utama dalam ekosistem tadbir urus negara kerana ia melibatkan dana yang dikumpul daripada orang ramai atas dasar kepercayaan, simpati dan rasa tanggungjawab sosial.
Dana ini lazimnya disalurkan bagi tujuan kebajikan, kemanusiaan, bantuan bencana, pendidikan dan pembangunan komuniti, serta dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yayasan, syarikat sosial mahupun individu.
Namun, kebelakangan ini, isu penyelewengan dan salah guna dana awam semakin membimbangkan apabila beberapa kes berprofil tinggi didedahkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pendedahan ini bukan sahaja menyingkap kelemahan serius dalam aspek tadbir urus dan pemantauan, malah mencetuskan krisis kepercayaan rakyat terhadap institusi dan organisasi yang sepatutnya menjunjung amanah awam.
Berdasarkan statistik siasatan SPRM diperolehi Utusan Malaysia sepanjang tahun 2025, nilai yang direkodkan mencecah RM2,081,973.12 sekali gus kerugian sebenar kepada negara akibat penyelewengan dana awam jauh lebih besar apabila melibatkan kes-kes berskala mega.
Dalam tempoh sama, sebanyak 127 maklumat kes penyelewengan dana dilaporkan tahun lalu selain 12 kertas siasatan dibuka.
Antara kes paling signifikan ialah skandal SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diklasifikasikan sebagai `grand corruption.’
Kes ini mengakibatkan kerugian langsung kepada kerajaan sebanyak RM24.46 bilion, selain komitmen pembayaran faedah pinjaman berjumlah RM4.02 bilion. Secara keseluruhan, beban kewangan yang ditanggung negara dianggarkan melebihi RM60 bilion, sekali gus memberi kesan besar terhadap fiskal negara dan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, projek Lebuhraya Maju Expressway (MEX), khususnya MEX II, turut menjadi perhatian apabila melibatkan pertuduhan bernilai lebih RM700 juta berkaitan pecah amanah, tuntutan palsu dan pengubahan wang haram.
SPRM turut membuka siasatan terhadap penggunaan dana sukuk berjumlah RM1.3 bilion bagi projek berkenaan, termasuk dakwaan maklumat palsu dan penyalahgunaan dana.
Lebih meresahkan, penyelewengan dana awam bukan sahaja berlaku dalam projek pembangunan berskala besar, malah turut melibatkan dana kebajikan dan kemanusiaan yang sepatutnya memberi manfaat langsung kepada golongan memerlukan.
Pada Februari tahun lalu, pendakwaan membabitkan Aman Palestin Berhad melibatkan jumlah RM39.5 juta susulan 164 pertuduhan terhadap tiga tertuduh, merangkumi kesalahan pecah amanah, penipuan dan pengubahan wang haram. Kes ini memberi tamparan hebat kepada sektor kebajikan kerana dana yang dikutip atas nama solidariti kemanusiaan disyaki disalahgunakan.
Menerusi Op serantau, SPRM juga mendedahkan siasatan terhadap wang dana sebuah NGO berjumlah kira-kira RM26 juta yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai digunakan untuk tujuan peribadi.
Lebih mengejutkan, apabila sebahagian hasil sumbangan terbabit dibelanjakan untuk membeli bangunan dan tanah. Wang itu datangnya daripada orang ramai yang menyumbang kepada NGO berkenaan bagi tujuan membantu orang lain termasuk masyarakat Syria.
Pola kes yang berulang ini menunjukkan isu utama dalam pengurusan dana awam ialah kelemahan ketelusan dan akauntabiliti.
Dalam banyak keadaan, dana yang dikutip tidak dilaporkan secara terperinci, mekanisme pemantauan lemah, dan penggunaan dana tidak selari dengan tujuan asal.
Lebih membimbangkan, terdapat kes di mana dana awam bercampur dengan kepentingan peribadi pengendali, sekali gus membuka ruang kepada salah guna kuasa, penyelewengan dan aktiviti penggubahan wang haram.
Situasi ini bukan sahaja mencalar imej organisasi kebajikan dan institusi awam, malah menghakis kepercayaan masyarakat untuk terus menyumbang kepada usaha murni.
Jika dibiarkan tanpa pembaharuan menyeluruh, risiko keletihan derma dan sikap skeptikal dalam kalangan rakyat akan semakin meningkat.
Dalam konteks ini, penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi. Ini terbukti apabila Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengakui kegiatan memungut derma dalam talian berleluasa namun kekangan yang dihadapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah itu ialah ketiadaan akta khusus untuk mengawal selia derma dalam talian.
Buat masa ini hanya ada satu undang-undang berkaitan kutipan derma, iaitu Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 (Akta 200). Namun akta ini terhad kepada kutipan secara fizikal yang dijalankan dari satu premis ke premis yang lain.
Justeru itu, reformasi menyeluruh merangkumi ketelusan pelaporan kewangan, audit bebas berkala, tadbir urus berasaskan integriti serta kesedaran awam menjadi keperluan mendesak.
Tanpa langkah pencegahan yang kukuh, dana awam akan terus terdedah kepada penyelewengan, dan kepercayaan rakyat sekali gus aset paling berharga dalam sistem demokrasi akan terus terhakis. – UTUSAN










