PETALING JAYA: Penyanyi Syura Badron mengimbau kembali pengalamannya pernah dikecam beberapa guru ketika zaman persekolahan hanya kerana memilih bidang nyanyian sebagai kerjaya seni.
Menurut Syura atau Zuraidah Badron, 40, dia masih mengingati teguran yang diterimanya daripada beberapa guru ketika berada di zaman persekolahan.
“Saya pernah dikecam ketika di sekolah dahulu. Ada cikgu yang mempersoalkan kenapa saya menjadi penyanyi kerana pekerjaan itu dianggap haram.
“Satu ayat yang saya tidak akan pernah lupa adalah apabila ada yang mengatakan pekerjaan itu boleh meluaskan lagi neraka untuk ayah saya.
“Saya memang sangat kecewa apabila mendengar perkara itu,” katanya menerusi hantaran muat naik semula di Threads miliknya.
Bagaimanapun, Syura mengakui dia berdepan situasi bercanggah apabila guru-guru yang sama tetap memintanya membuat persembahan nyanyian setiap kali sekolah mengadakan majlis tertentu.
“Tapi, yang kelakarnya, bila ada majlis di sekolah, cikgu-cikgu juga yang minta saya membuat persembahan nyanyian.
“Sebab itu saya sendiri tertanya-tanya bagaimana perkara itu boleh berlaku sedangkan sebelum ini kerjaya saya dipersoalkan,” katanya.
Perkongsian penyanyi itu dibuat sebagai respons terhadap isu melibatkan anak kepada penyanyi Ani Mayuni yang didakwa menerima kenyataan daripada seorang ustazah mengenai hukum duit hasil nyanyian.
Susulan itu, Syura Badron memuat naik semula hantaran tersebut dan berkongsi pengalamannya yang dipersoalkan oleh guru-guru di sekolah mengenai kerjayanya sebagai seorang penyanyi.
Untuk rekod, Syura Badron memulakan kerjayanya pada tahun 2000 dan telah menghasilkan lima album studio. Dia juga pernah menyertai program realiti popular Gegar Vaganza musim ke-4 pada tahun 2017.










