Darurat: Mahkamah tolak rayuan peguam

Darurat: Mahkamah tolak rayuan peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan saman pemula oleh seorang peguam berhubung tindakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak mengisytiharkan darurat walaupun telah diberi nasihat oleh Perdana Menteri, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) sebulat suara menolak rayuan Dr. Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar sekali gus mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan bahawa perogatif YDPA tidak boleh diadili oleh mahkamah.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Datuk Supang Liang dan Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab.

Ketika membacakan penghakiman ringkas panel itu, Hakim Sequerah menyatakan perisytiharan darurat oleh YDPA tidak tertakluk kepada semakan kehakiman sebagaimana yang tertakluk di bawah Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, peruntukan itu mensyaratkan bahawa YDPA hendaklah berpuas hati bahawa wujud darurat yang serius (dan keputusan yang dibuat adalah) muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak Eksekutif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada keadaan yang membolehkan perisytiharan berkenaan wujud. Mahkamah tidak boleh melaksanakan kuasa kehakimannya dalam hal keselamatan negara,” kata Hakim Sequerah.

Tambah Hakim itu, perkara yang berteraskan dasar seperti pertimbangan berkaitan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam dan moral dianggap berada di luar kecekapan Badan Kehakiman.

Beliau berkata, mahkamah menerima doktrin struktur asas sebagai sebahagian daripada perundangan negara termasuk prinsip pengasingan kuasa dan kebebasan badan kehakiman.

Pada 15 Februari 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kuasa YDPA dalam mengisytiharkan darurat adalah perkara yang tidak boleh diadili oleh mahkamah.

Hakim ketika itu, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam penghakimannya berkata, meskipun pengisytiharan darurat dilakukan oleh YDPA mengikut Perkara 150, Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan tidak bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dibatalkan di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah ketika itu turut menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Syed Iskandar terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang enggan bertindak atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk mengisytiharkan darurat.

Pada November 2020, Syed Iskandar yang memfailkan saman itu dengan menamakan kerajaan Malaysia dan 10 lagi sebagai defendan, memohon mahkamah memutuskan antara lain sama ada, berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, YDPA memiliki kuasa mutlak untuk mengisytiharkan darurat meskipun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN