Tiada kes malaria monyet dikesan di Pulau Pinang

Tiada kes malaria monyet dikesan di Pulau Pinang

DANIEL Gooi Zi Sen (tiga dari kanan) menerima cenderamata sempena sidang akhbar mengenai penganjuran 2026 Top (Ten Outstanding Penang) Award di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang bebas daripada jangkitan malaria monyet setakat ini walaupun terdapat peningkatan kes dilaporkan berlaku di Sabah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, meskipun tiada sebarang kes jangkitan dikesan setakat ini, namun, pemantauan berterusan tetap dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

“Penyakit ini berpunca daripada jangkitan parasit malaria yang dibawa nyamuk daripada monyet sebelum disebarkan kepada manusia dan setakat ini, kita masih belum merekodkan sebarang kes. Jadi, boleh dikatakan bahawa situasi di Pulau Pinang ketika ini masih terkawal (daripada jangkitan tersebut),” katanya pada sidang akhbar mengenai penganjuran 2026 Top (Ten Outstanding Penang) Award di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, Sabah telah merekodkan sekurang-kurangnya 357 kes malaria monyet dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan satu kematian dilaporkan.

Dalam pada itu, Daniel berkata, kes penyakit bawaan nyamuk khususnya demam denggi di Pulau Pinang menunjukkan trend penurunan yang agak ketara.

“Jika dibandingkan dengan tahun lepas, kes denggi di negeri ini telah turun sebanyak 39 peratus setakat ini. Ini menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri bersama komuniti dalam memastikan tiada takungan air serta meningkatkan kesedaran awam membuahkan hasil,” katanya.

Mengulas mengenai kes kematian akibat strok haba dalam satu acara larian baru-baru ini pula, Daniel berkata, penganjur telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk menyediakan pasukan perubatan dan kemudahan mencukupi.

“Penganjur juga bertindak pantas apabila mangsa menunjukkan tanda tidak sihat dan segera memberikan bantuan sebelum dihantar ke hospital,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN