MEKAH: Cuaca panas mula dirasai di tanah suci apabila suhu tengah hari mencecah lebih 40 darjah Celsius menjelang kemuncak musim haji yang berbaki kira-kira 10 hari.
Keadaan itu menyebabkan kebanyakan jemaah mengehadkan aktiviti luar terutama antara pukul 11 pagi hingga 4 petang bagi mengelakkan risiko kesihatan.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Mekah mendapati, para jemaah menggunakan payung dan membawa botol minuman sebagai langkah mengurangkan kesan cuaca panas ketika menunaikan ibadah.
Dalam pada itu, jemaah dilihat mengurangkan pergerakan luar manakala ada dalam kalangan mereka yang menunaikan solat Zuhur dan Asar di surau atau masjid berdekatan hotel.
Malah, jemaah haji khususnya dari Malaysia menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram pada waktu malam atau awal pagi memandangkan suhu waktu itu antara 27 hingga 33 darjah Celsius.
Jemaah Malaysia, Ahmad Fauzi, 58, berkata, cuaca tahun ini dirasakan lebih panas terutama pada waktu Zuhur dan Asar sehingga menyebabkannya cepat berasa letih.
“Kalau keluar selepas tengah hari memang terasa bahangnya. Kami cuba kurangkan aktiviti luar dan banyak berehat di hotel,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi jemaah, Mohammad Azizul Abdul Aziz berkata, dia lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar dengan sentiasa membawa minuman dan memakai payung bagi mengelakkan dehidrasi.
“Sekarang memang kena sentiasa bawa air dan elakkan berjalan terlalu lama waktu tengah hari. Kalau tidak, badan cepat penat dan tekak pun cepat kering,” katanya.
Ketua Rombongan Haji, Mohd. Hisham Harun berkata, pihaknya mengingatkan jemaah supaya memberi perhatian khusus terhadap pengambilan air secukupnya dan menggunakan payung ketika berada di luar bangunan penginapan.
Katanya, mereka dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama ketika cuaca terik. – UTUSAN










