Bursa Sosial perkukuh peranan pasaran modal, salur dana lebih telus - Utusan Malaysia

Bursa Sosial perkukuh peranan pasaran modal, salur dana lebih telus

LIEW Chin Tong (tiga dari kiri) dan Mohammad Faiz Azmi (dua dari kiri) ketika gimik pelancaran Bursa Sosial di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Platform Bursa Sosial, Impakrintas oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) berpotensi memperkukuh sumbangan pasaran modal kepada sektor sosial melalui penyaluran dana yang lebih telus dan tersusun.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, inisiatif itu memanfaatkan keupayaan pasaran modal untuk menarik penyertaan syarikat korporat dalam menyalurkan sumbangan kepada sektor ketiga atau pertubuhan bukan untung (NPO).

“Kami mempunyai sektor sosial yang memerlukan sumbangan dan SC menggunakan keupayaan sedia ada untuk menarik penyertaan serta sumbangan daripada syarikat korporat.

“Melalui SC dan platform Bursa Sosial ini, sumbangan dapat disalurkan kepada sektor ketiga iaitu sektor bukan keuntungan.

“Pada masa hadapan, kami berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama antara pasaran modal dengan pelbagai sektor dalam menangani cabaran sosial.

“Cabaran sosial yang dihadapi termasuk Malaysia mempunyai populasi muda berbanding banyak negara Asia lain, khususnya negara Asia Timur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Rasmi Bursa Sosial di sini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan geran RM2 juta di bawah Belanjawan 2026 untuk menyokong NPO yang menyertai platform itu, sekali gus membantu menampung sebahagian kos penyertaan dan pengumpulan dana bagi organisasi yang layak.

Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan komitmen daripada tiga badan korporat berjumlah keseluruhan sebanyak RM60,000 mencerminkan minat yang semakin meningkat daripada sektor swasta untuk menyokong projek berimpak sosial yang layak melalui Bursa Sosial.

Sementara itu, platform tersebut telah menghimpunkan lapan NPO yang meliputi bidang akses penjagaan kesihatan, keselamatan makanan, pembangunan belia, penjagaan paliatif dan kelestarian alam sekitar.

Lapan projek yang kini disenaraikan di ImpakRintas mempunyai sasaran kutipan dana gabungan melebihi RM22 juta.

Antara projek terbesar ialah Project STAR oleh MySkills Foundation untuk belia berisiko yang menyasarkan kutipan RM7.87 juta, inisiatif keselamatan makanan seluruh negara oleh Food Aid Foundation (RM6.29 juta) serta program Homes of Hope oleh National Cancer Society Malaysia (RM3.57 juta).

Organisasi lain yang turut serta termasuk OrphanCare Foundation, Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI), YOKUK, Pertubuhan Kebajikan Nourish Malaysia dan Suriana Welfare Society Malaysia.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Mohammad Faiz Azmi berkata, SC mengambil pendekatan teliti dan berperingkat dalam pembangunan Bursa Sosial dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada pengumpulan dana kebajikan.

Katanya, pada fasa awal, SC melantik LC Wakaful Digital Sdn. Bhd. sebagai pengendali platform Bursa Sosial, Impakrintas yang mula beroperasi awal tahun ini dengan enam NPO serta projek impak sosial.

“Bagi fasa seterusnya, kami akan menambah baik rangka kerja secara berperingkat bagi memperluaskan penyertaan lebih ramai pihak berkepentingan termasuk impak sosial, komuniti dan iklim.

“Pendekatan ini bagi memastikan kesiapsiagaan pasaran serta kemampanan jangka panjang,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN