PETALING JAYA: Kejayaan membawa pulang empat lukisan bernilai tinggi berkait skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan aset yang diseleweng berupaya dikesan dan dikembalikan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kejayaan itu perlu disusuli dengan reformasi institusi bagi memastikan tragedi sama tidak berulang.
Jais berkata, ia turut membuktikan usaha memburu aset 1MDB diteruskan secara konsisten, profesional dan berlandaskan undang-undang antarabangsa.
“MCW turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Azam Baki serta seluruh pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kejayaan membawa pulang empat karya seni berkenaan.
“Setiap sen yang dicuri daripada rakyat mesti dikesan, dipulangkan dan dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, pencapaian pemulihan aset 1MDB sebanyak RM31.3 bilion atau kira-kira 74.5 peratus daripada keseluruhan dana diseleweng merupakan kejayaan besar yang wajar diberi pengiktirafan.
“Proses pemulangan aset 1MDB bukan langkah mudah kerana memerlukan diplomasi, bantuan perundangan bersama, risikan kewangan dan kerjasama rentas sempadan.
“Usaha itu turut melibatkan koordinasi dengan pelbagai agensi antarabangsa termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ),” katanya.
Katanya, penempatan karya seni itu di bawah pengawasan Balai Seni Negara adalah tepat bagi memastikan aset berkenaan dipelihara sebagai sebahagian sejarah negara.
Ujarnya, skandal 1MDB bukan sekadar isu kehilangan wang, malah memberi kesan besar kepada imej negara, keyakinan pelabur, integriti institusi dan moral pentadbiran awam.
“MCW berharap momentum pemulihan aset diteruskan secara agresif termasuk membawa pulang baki karya seni lain, aset tersembunyi, akaun luar pesisir dan hasil jualan aset yang masih berada di luar negara.
“Pemulihan aset itu mesti diperkukuh dengan pembaharuan termasuk semak dan imbang institusi kewangan, ketelusan dana awam, perlindungan pemberi maklumat, reformasi pembiayaan politik serta penguatkuasaan tanpa campur tangan politik,” katanya. – UTUSAN











