Beza ketara, festival muzik luar negara sudah tidak buat ‘soundcheck’ -SOG - Utusan Malaysia

Beza ketara, festival muzik luar negara sudah tidak buat ‘soundcheck’ -SOG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Band metalcore tempatan, Sekumpulan Orang Gila (SOG) berpandangan sudah tiba masanya produksi konsert dan festival muzik di negara ini mengadaptasi kaedah yang digunakan di luar negara, tanpa terlalu bergantung kepada proses soundcheck atau ujian bunyi yang memakan masa.

Mewakili SOG, pemain dram, Raja Nazmin Shah, berkata pengalaman beraksi di festival muzik metal terbesar Asia Tenggara, Hammersonic baru-baru ini memperlihatkan jurang ketara dari segi kualiti produksi antara Malaysia dan negara luar.

“Kita kena jujur, Malaysia masih jauh ketinggalan dalam aspek produksi konsert. Di festival besar seperti Hammersonic, mereka tidak lagi mengamalkan soundcheck. Pemuzik hanya naik ke pentas dan terus beraksi.

“Semua band diberi layanan sama rata. Kami boleh membuat tetapan selama 50 minit, tetapi tidak dibenarkan memainkan sebarang muzik. Apa yang dimainkan di atas pentas itulah bunyi pertama kami.

“Sebab itu, perlu ada sistem pra-produksi acara, bukan sekadar pra-produksi lagu. Kita perlu tahu tempo, susunan teknikal dan perjalanan persembahan lebih awal.

“Sistem seperti ini sepatutnya sudah lama diterapkan dalam kalangan artis serta penganjur di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sidang media Ajar Aku di The Campus, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai rahsia persembahan mantap tanpa ujian bunyi, Raja Nazmin berkata kunci utama terletak pada persiapan rapi di peringkat pra-produksi menerusi penggunaan sistem automasi sepenuhnya.

Menurutnya, sebelum berangkat ke Indonesia, SOG memperuntukkan hampir 20 jam bagi melakukan tetapan teknikal atau pre-production tanpa melibatkan latihan instrumen.

“Kebanyakan festival antarabangsa kini menggunakan sistem automasi. Jika diperhatikan, di atas pentas sudah tidak kelihatan deretan amplifier gitar kerana semuanya telah diprogramkan lebih awal termasuk sistem monitor telinga (in-ear monitor).

“Kami menyiapkan semua persiapan di Malaysia terlebih dahulu. Jadi apabila tiba di lokasi konsert, semuanya sudah tersedia dalam sistem. Artis tempatan perlu sedar teknologi sudah berubah dan kita tidak boleh terus ketinggalan zaman,” katanya.

Dalam pada itu, SOG turut berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika menjayakan sebuah festival tempatan apabila terpaksa menunggu sehingga empat hari semata-mata untuk sesi ujian bunyi, namun akhirnya terganggu akibat faktor cuaca dan gangguan bekalan elektrik.

“Penat kami beri komitmen selama empat hari untuk soundcheck, tetapi akhirnya sia-sia disebabkan hujan lebat atau berlaku power trip. Di luar negara, perkara seperti itu tidak dilakukan untuk band selain pengisi slot utama (headliner). Semuanya bergerak pantas dan profesional,” ujar mereka.

Dalam pada itu, SOG mencadangkan semua pihak termasuk pemuzik, jurutera bunyi dan kru teknikal di Malaysia meningkatkan pengetahuan serta kemahiran berkaitan sistem produksi moden agar industri muzik tempatan mampu bersaing di peringkat global.

“Bukan sekadar pemuzik, kru dan jurutera bunyi juga perlu memahami sistem moden ini. Kita tidak mahu terus berada di takuk lama sedangkan negara luar sudah jauh ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, pada 2 Mei, SOG menjadi band dari Malaysia yang diundang membuat persembahan di festival Hammersonic yang berlangsung di Jakarta. Festival selama dua hari itu menghimpunkan 35 kumpulan muzik dari pelbagai negara dan dikenali sebagai antara festival muzik metal terbesar di Asia Tenggara. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN