PETALING JAYA: Pelakon Beto Kusyairi menepis tanggapan yang dia menolak tawaran berlakon drama di televisyen.
Kata Beto, sebaliknya berlaku percanggahan jadual yang membuatkan terpaksa menolak tawaran berkenaan.
“Ada anggapan yang menyatakan saya cuma nak berlakon filem atau siri premium.
“Tapi sebenarnya saya tidak menolak tawaran drama episod di televisyen asalkan skripnya bagus.
“Di kala ini, saya tidak lagi mengejar populariti, tetapi lebih suka membuat benda yang memberi kepuasan dari sudut hasil kerja,” katanya ketika tayangan drama bersiri Good Boys Go To Heaven, di sini.
Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairi Zakuan Osman memaklumkan beliau banyak menolak drama bersiri disebabkan jadual yang bercanggah dengan tarikh penggambaran.
“Ada, tapi kebanyakannya soal jadual. Bukan kerana tak menepati bayaran dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pelakon berusia 46 tahun itu menolak melakonkan watak penunggang ugama kerana enggan memberi gambaran buruk kepada agamawan.
“Banyaknya kisah penunggang agama ini mengakibatkan netizen pukul rata semua agamawan.
“Disebabkan terlalu banyak disogok dengan cerita penunggang agama, tak pasal Ustaz yang betul terkena tempiasnya.
“Jadi saya tak mahu menjadi punca kepada keadaan itu. Cukuplah, apa yang dah ada itu, okey.
“Kalau orang tawarkan saya cerita sebegitu, saya cuba elakkan. Ramai lagi agamawan yang betul-betul baik,” kongsinya.










