Bersatu yang amal politik mullah, bukan Pas - Mohamed Sukri

Bersatu yang amal politik mullah, bukan Pas – Mohamed Sukri

MOHAMED SUKRI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan terdapat pihak dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang melabelkan Pas sebagai parti ‘mullah’ adalah tidak tepat dan bertentangan dengan realiti politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, dakwaan kononnya Pas hanya tunduk kepada satu suara, satu tokoh dan satu keputusan merupakan naratif yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu, namun tidak mencerminkan keadaan sebenar.

“Dalam konteks PN, daripada blok pembangkang yang pernah mempunyai 73 Ahli Parlimen, jumlah itu kini berkurangan kepada sekitar 55 orang dengan Pas kekal 43 kerusi.

“Manakala Bersatu mengalami penyusutan selepas beberapa siri tindakan disiplin termasuk pemecatan, penggantungan, amaran serta tindakan terhadap ahli dan wakil rakyat sendiri.

“Kalau seorang individu boleh menyebabkan parti sendiri hilang kekuatan Parlimen, memecat sana sini, menggugurkan ketua bahagian dan menghukum pimpinan hanya kerana tidak sealiran dengan kehendak Presiden, itu bukan disiplin parti. Itu politik kuku besi. Itulah ‘mullah’ yang sebenar,” katanya di Facebook hari ini.

Menurut Mohamed Sukri, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat keputusan parti melalui proses mesyuarat, perbincangan dalaman, Jawatankuasa Pas Pusat serta Majlis Syura Ulama sebelum sebarang pendirian dibuat.

“Tidak ada budaya memecat Ahli Parlimen sesuka hati. Tidak ada tindakan menggugurkan Yang Dipertua kawasan hanya kerana hadir majlis yang tidak digemari.

“Tidak ada politik dendam membabi buta. Tetapi anehnya, Pas pula yang dituduh ‘mullah’,” katanya.

Mohamed Sukri berkata, dalam mesyuarat PN, wujud keadaan seolah-olah Bersatu mahu semua keputusan dibuat mengikut kehendak mereka.

Katanya, apabila kehendak tidak dipenuhi, tekanan akan diberikan, manakala pandangan Pas pula sering tidak sehaluan dilabel sebagai tidak setia.

“Lebih pelik, dalam mesyuarat PN sendiri, ada sikap seolah-olah Bersatu mahu semua keputusan mesti mengikut telunjuk mereka. Seakan-akan ada mesyuarat dalam mesyuarat. Ada parti dalam parti. Ada jemaah dalam jemaah.

“Ini bukan semangat setiakawan. Ini bukan semangat gabungan. Ini politik dominasi,” katanya.

Tambah beliau, Bersatu juga membawa budaya pemecatan dalam parti sendiri dan cuba membawa amalan itu ke dalam PN sehingga menyebabkan Pas turut dituduh bermasalah apabila tidak tunduk kepada kehendak tertentu.

Beliau turut membandingkan situasi itu dengan Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa wujud corak tindakan yang sama dalam bentuk serangan dan tuduhan balas.

“Persoalannya, adakah Bersatu sedang belajar menjadi seperti Pakatan Harapan atau sebenarnya mereka sedang berlatih untuk kembali bersama Pakatan Harapan.

“Yang pasti, label ‘mullah’ itu tidak melekat pada Pas kerana yang sedang mengamalkan politik satu suara, satu arahan, satu kehendak dan satu individu itulah Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN