Batal NSM: Norway mohon maaf - Utusan Malaysia

Batal NSM: Norway mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Norway telah mengemukakan permohonan maaf kepada Malaysia susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkata tersebut disampaikan dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya ketika Dialog Shangri-La 2026 di Singapura.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Norway dan menyampaikan secara terus terang serta jujur mengenai kekecewaan dan kekesalan Malaysia berhubung pembatalan eksport peluru berpandu NSM. 

“Perkara ini amat mendukacitakan memandangkan hubungan persahabatan yang lama, rapat dan baik yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Norway,” katanya semasa sidang akhbar di sela-sela Shangri-La Dialogue 2026, Singapura hari ini.

Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

NSM peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer.

Ia dalah sebahagian daripada kontrak perolehan yang dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, bernilai 124 juta euro bertujuan melengkapi enam kapal LCS baharu.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, semasa pertemuan tersebut, Menteri Pertahanan Norway turut  menjelaskan asas yang menjadi sebab kepada keputusan pembatalan tersebut. 

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang selama ini menganggap Norway sebagai sahabat, cara dan tindakan yang diambil tidak mencerminkan hubungan baik yang wujud antara kedua-dua negara.

“Pertama, Malaysia mengambil masa yang terlalu lama untuk dimaklumkan mengenai perkara ini. Kontrak telah ditandatangani pada tahun 2018 dan penghantaran sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini. 

“Namun, hanya pada bulan April,  Malaysia dimaklumkan mengenai keputusan tersebut. Malah pada bulan Mac, ketika penghantaran sepatutnya mula dilaksanakan, Malaysia hanya dimaklumkan bahawa terdapat masalah tanpa sebarang pemberitahuan rasmi mengenai pembatalan lesen eksport.

“Kedua, keputusan tersebut dibuat secara unilateral tanpa sebarang rundingan atau perbincangan dengan Malaysia. Ketiga, tindakan Norway tidak menggambarkan komitmen yang sewajarnya antara dua negara yang mempunyai hubungan baik. 

“Tiada usaha yang jelas untuk membantu Malaysia mendapatkan semula wang yang telah dibayar, walaupun keadaan yang dihadapi ini berpunca daripada keputusan yang dibuat oleh pihak Norway,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN