PETALING JAYA: Bank Dunia mencadangkan empat keutamaan kepada Malaysia dalam mendepani tekanan global termasuk krisis bekalan tenaga.
Empat keutamaan itu adalah menjamin bekalan tenaga, memperkukuh ruang fiskal, mengurus permintaan tenaga serta menyasarkan sokongan kepada isi rumah dan perniagaan terkesan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bermesyuarat hari ini turut membincangkan pandangan Bank Dunia itu.
Ia termasuk mengenai kenaikan harga minyak global, baja dan makanan yang memberi kesan berbeza tetapi saling berkait.
Katanya, penilaian Bank Dunia itu menunjukkan tekanan harga masih tertumpu kepada komoditi utama yang mempunyai kesan limpahan kepada kos pengeluaran dan kos sara hidup.
Oleh itu, tindak balas dasar perlu mengambil kira kesan langsung kepada rakyat serta kesan rantaian kepada perniagaan dan bekalan.
“Pendekatan ini turut menekankan kepentingan memastikan kelancaran bekalan barangan kritikal dan pembiayaan rantaian bekalan bagi firma yang terdedah,” katanya semasa sidang akhbar hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, cadangan tersebut disambut baik dan turut dibincangkan bahawa ia selari dengan keputusan kerajaan melalui inisiatif yang sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Beliau berkata, fokus kerajaan adalah untuk menjamin bekalan, memanjangkan daya tahan bekalan sedia ada dan mengekang tekanan harga.
“Usaha sedang dibuat untuk menyelaras kawalan eksport bahan api tertentu, jaminan bekalan barangan keperluan, pengurusan kuota pembelian, penjimatan tenaga serta kerjasama rapat dengan industri,” katanya.
Katanya, sebarang penyesuaian dasar akan dilaksanakan secara berhati hati, bersasar dan bersifat sementara bagi memastikan usaha untuk melindungi rakyat, memastikan kestabilan bekalan dan mengurus kedudukan fiskal negara secara bertanggungjawab diutamakan.
“MTEN akan terus mengemas kini status bekalan tenaga dan bahan api dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan domestik kekal diberi keutamaan, di samping meningkatkan keyakinan pihak industri terhadap kelangsungan operasi dan kesinambungan aktiviti ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










