PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencabar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman bagi merasai sendiri kepayahan pelajar di sana mendapatkan pendidikan.
Ia berikutan laporan Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ yang memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.
“Kepada Menteri Pendidikan sudilah bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman. Saya cabar. Jangan jadi menteri malas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Laporan baharu Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ memberi gambaran membimbangkan tentang sistem pendidikan Malaysia.
Walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK) namun pembelajaran pelajar masih ketinggalan berbanding jangkaan.
Hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk daripada rakan serantau (34 peratus berjuang dalam ekonomi yang serupa).
Selain itu, Puad berkata, sesiapa pun pasti bimbang apabila hanya 58 peratus pelajar di negara ini yang mahir membaca pada usia lima tahun.
“Kalau ikut logik macam tidak logik. Bajet pendidikan setiap tahun amat tinggi. Kita juga telah merombak dasar pendidikan beberapa kali. Hatta tidak boleh dinafikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ramai pakar yang berkelayakan tinggi. Di mana silapnya?
“Sebenarnya Bank Dunia telah beri jawapan konkrit kenapa ia berlaku. Maka KPM patut fokus terhadap punca tersebut dan mencari cara lebih efektif untuk mengatasinya,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara masalah yang timbul ialah akses terhad kepada pendidikan prasekolah berkualiti khususnya di kawasan pedalaman menyebabkan ramai anak-anak di kawasan itu tidak dapat memasuki prasekolah.
“Masalah paling rumit ialah sekolah terlalu jauh. Ada yang berjalan kaki dan naik bot untuk ke sekolah. Maka mereka perlu tinggal di asrama desa kalau mahu ke sekolah.
“Masalahnya bagaimana murid prasekolah mahu tinggal di asrama? Umur prasekolah tidak sesuai duduk di asrama. Apa lagi kalau masih guna kain lampin atau lampin pakai buang.
“Itu puncanya ramai yang tidak dapat belajar di pra sekolah. Tidak mungkin mereka berulang alik jalan kaki atau naik bot untuk ke pra sekolah. Ia melibatkan kos diesel,” katanya.
Tambah Puad, tidak semua rumah panjang memiliki pra sekolah dan tidak semua guru sanggup tinggal di kawasan berkenaan.
“Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan korporat mendirikan Rumah Arau berdekatan sekolah. Rumah Arau tempat ibu-ibu dan murid prasekolah tinggal bersama.
“Hujung minggu mereka balik rumah panjang untuk bertemu suami dan ambil barang bekalan memasak seperti beras. Tetapi berapa banyak Rumah Arau dibangunkan?,” soalnya. – UTUSAN










