LANGKAWI: Lelaki dikenali sebagai ‘Bagok’ yang dikaitkan dengan kegiatan pengedaran dadah di pulau ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini kerana mengambil dadah, bulan lalu.
Tertuduh, Zuhaimi Saad, 47, yang bekerja sebagai buruh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mirza Mohamad.
Mengikut pertuduhan, dia didapati menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, pada pukul 11.05 malam, 10 April lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Berdasarkan pertuduhan itu, dia sebelum ini disabitkan kesalahan di bawah seksyen sama oleh Mahkamah Majistret Langkawi pada 16 Ogos 2023 dan dihukum enam bulan penjara serta tiga tahun pengawasan.
Mahkamah sama pada 9 Januari 2024 turut menjatuhkan hukuman tujuh bulan penjara dan dua tahun pengawasan terhadapnya setelah disabitkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan.
Susulan itu, tertuduh kini boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 39C (1) akta tersebut dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B(1) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun.
Lelaki itu juga berdepan hukuman sebat yang tidak melebihi tiga sebatan dan pengawasan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aqlima Azizi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Jun depan.
Kelmarin, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki itu mempunyai 12 rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971; Seksyen 160 KK; lima rekod di bawah Seksyen 12(2) serta tiga rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Suspek juga pernah ditangkap di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 pada 20 November 2020 dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Perak selama dua tahun.-UTUSAN










