Kisah penyondol ada tempat di hati penonton - Shuhaimi Lua

Kisah penyondol ada tempat di hati penonton – Shuhaimi Lua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam isu orang ketiga hangat diperkatakan, pengarah Shuhaimi Lua dilihat seolah-olah mengambil peluang apabila drama arahannya Bila Cinta Menjadi Dosa mengangkat kisah perampas kebahagiaan orang lain.

Menurut Shuhaimi, kisah sebegitu sudah lama wujud dalam masyarakat dan sentiasa mempunyai tempat dalam kalangan penonton kerana sifatnya yang dekat dengan realiti kehidupan.

“Cerita penyondol ini bukan benda baharu. Dari dulu memang sudah ada, cuma cara kita gambarkan watak itu berbeza. Sekarang orang nampak kisah penyondol tengah ‘in’ sebab hangat diperkatakan terutama di sosial media.

“Bila cerita itu dekat dengan penonton, ia akan mudah mendapat sambutan sebab mereka boleh relate dengan apa yang berlaku di sekeliling,” katanya.

Drama tersebut mengangkat kisah Eva, seorang perempuan simpanan yang dilakonkan oleh Sarimah Ibrahim, namun tampil dengan pendekatan berbeza berbanding stereotaip biasa.

“Selalunya penyondol digambarkan sebagai wanita yang murahan atau terlalu negatif. Tapi Eva ini berbeza, dia wanita yang ada kelas dan berkerjaya.

“Walaupun dia berada dalam situasi itu, dia tidak ditampilkan secara keterlaluan, sebaliknya ada sebab kenapa dia jadi begitu,” jelasnya.

Menurut Shuhaimi, antara persoalan utama yang cuba diketengahkan adalah realiti hubungan yang tidak mempunyai hala tuju.

“Kalau seorang lelaki benar-benar menyukai seseorang wanita, dia akan mengahwininya. Tapi kalau sekadar simpan tanpa arah tuju, apa maksudnya?

“Itu yang kita nak penonton fikirkan. Setiap tindakan ada kesannya, ada ‘karma’,” ujarnya.

Dalam masa sama, Shuhaimi mengakui tidak menyangka drama tersebut menerima sambutan hangat daripada penonton.

Katanya, kekuatan barisan pelakon lain seperti Zamarul Hisham, Maria Farida, Jasmin Hamid, Alya Iman, Nelissa Nizam, Zairi Aziz, Siti Elizad dan Marc Syahmie antara faktor utama kejayaan naskhah tersebut.

“Dalam drama ini ada pelbagai lapisan umur dan karakter, sama seperti masyarakat di luar sana. Itu yang buat penonton rasa dekat dan terus mengikuti cerita ini,” katanya.

Malah, sejak awal pembikinan skrip lagi, Shuhaimi telah membayangkan Sarimah yang akan membawakan watak Eva dalam drama 30 episod itu.

“Saya memang tak nampak orang lain selain dia. Pada saya, hanya Sarimah yang mampu membawa watak penyondol berkelas ini dengan tepat.

“Memang bukan mudah untuk dapatkan dia, tapi bila lihat hasil dan sambutan, saya rasa sangat berbaloi. Mungkin kalau orang lain bawakan watak ini tidak menjadi seperti yang saya harapkan,” katanya.

Tambahnya, keterujaan penonton yang sentiasa ternanti-nanti perkembangan setiap episod menjadi kepuasan terbesar buatnya sebagai pengarah.

“Saya bersyukur kita ada pelakon hebat, cerita yang menarik dan penonton yang begitu ‘excited’ nak tahu apa jadi seterusnya.

“Saya juga seronok melihat sokongan terhadap drama tempatan. Diharap sokongan ini berterusan supaya industri lakonan tempatan akan terus berkembang,” katanya.

Episod akhir drama Bila Cinta Menjadi Dosa akan menemui penonton pada 9 Mei ini (Sabtu). di slot Lestary, TV3

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN