KUALA LUMPUR: Akademi Muezza terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan generasi muda apabila bakal melancarkan Program Permata Madani bermula Jun ini menerusi pendekatan pembelajaran holistik yang menggabungkan elemen sukan, akademik dan agama.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Muezza, Abdul Halim Aliumar berkata, program tersebut dirangka bagi membentuk sahsiah, meningkatkan keyakinan diri serta memperkukuh kemahiran komunikasi kanak-kanak selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
Menurut beliau, akademi yang sebelum ini memfokuskan pembangunan sukan seperti memanah dan renang kini tampil dengan dua teras baharu iaitu akademik dan pendidikan agama.
“Pelancaran kedua-dua teras ini dijadualkan pada Jun depan. Bagi akademik, kami akan memulakan program 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
“Namun, pendekatan kami berbeza daripada konsep tuisyen biasa kerana lebih menekankan pembangunan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi menerusi kaedah pembelajaran menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvokesyen Akademi Muezza yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam.

Abdul Halim berkata, program akademik itu bakal menawarkan kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin menerusi suasana pembelajaran interaktif yang menggabungkan pelajar pelbagai peringkat umur bersama kemudahan sukan.
Katanya, pendekatan tersebut diyakini mampu menggalakkan perkongsian ilmu secara semula jadi selain membantu meningkatkan keberanian pelajar untuk berinteraksi.
“Suasana pembelajaran juga lebih santai dan aktif dengan penerapan elemen permainan, aktiviti memanjat serta pembelajaran praktikal.
“Kami turut bekerjasama dengan syarikat berpengalaman dalam pembangunan silibus sekolah swasta bagi mempercepat pembinaan modul kemahiran pembelajaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, teras pendidikan agama pula akan diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Yayasan Maghfirah melalui projek Sahabat Al-Quran yang memfokuskan pembelajaran al-Quran, pendidikan akhlak dan kepimpinan.
Sementara itu, Abdul Halim memaklumkan seramai 197 pelajar diraikan sempena konvokesyen pertama Akademi Muezza sejak penubuhannya tiga tahun lalu.
Menurutnya, pelajar terbabit terdiri daripada peserta kategori memanah beginner, intermediate dan advanced yang dipilih berdasarkan pencapaian sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, Akademi Muezza kini mempunyai tiga teras utama sukan iaitu memanah, renang dan bola sepak dengan jumlah keseluruhan pelajar melebihi 3,700 orang di seluruh negara.
“Ketika ini kami mempunyai kira-kira 37 studio dalaman dan lebih 40 lokasi luar termasuk sekolah serta padang bagi aktiviti latihan memanah dan sukan lain,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya kini mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan bagi membangunkan atlet elit yang berpotensi mewakili negara ke pentas antarabangsa termasuk Olimpik.
“Kami pernah menghantar pasukan ke Indonesia dan berjaya muncul juara. Kini kami mahu meneruskan kesinambungan bersama kerajaan untuk membawa atlet elit Muezza ke tahap lebih tinggi,” katanya.










