TUARAN: Aidiladha menjadi medium terbaik menyatukan masyarakat menerusi semangat ibadah, pengorbanan dan kebersamaan yang diamalkan setiap tahun.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, ibadah korban yang dilaksanakan tahun ini bukan sahaja membawa keberkatan, malah menyemai nilai saling membantu serta sikap prihatin dalam kalangan masyarakat.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya berpeluang menunaikan solat sunat Aidiladha bersama penduduk di Masjid Haji Noor Kampung Serusup, Tuaran.
“Saya kemudian menghadiri Majlis Penyerahan Lembu Korban di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program korban tahun ini termasuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), jawatankuasa masjid serta penyumbang.
“Semoga ibadah korban dilaksanakan tahun ini membawa keberkatan, menyemai semangat saling membantu dan prihatin dalam masyarakat.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terbabit dalam menjayakan program korban tahun ini,” katanya. – UTUSAN










