Ahli Parlimen Mersing pula digantung keahlian Bersatu

Ahli Parlimen Mersing pula digantung keahlian Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas digantung keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi tempoh dua penggal pemilihan berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan berkata, Muhammad Islahuddin didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

“Dengan penggantungan itu, maka yang berhormat (YB) secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan.

“Pihak YB boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” katanya menerusi notis penggantungan yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Exco Armada Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin pula dipecat keahlian.

“Notis ini berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun, pihak tuan boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung lima ahli Parlimen.

Ahli yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Lima Ahli Parlimen yang digantung ialah Datuk Khlir Mohd. Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain turut digantung. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN