KUALA LUMPUR: Agrobank mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan bagi 2025 apabila penyaluran pembiayaannya meningkat kepada RM17.186 bilion, melonjak 30.67 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bank itu berkata, jumlah portfolio pembiayaan turut meningkat sebanyak RM1.83 bilion atau 11.42 peratus, dipacu prestasi kukuh segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Ar-Rahnu serta pembiayaan mikro.
“Baki deposit turut mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM13.25 bilion, manakala jumlah pendapatan meningkat 13.29 peratus kepada RM1.43 bilion.
“Prestasi ini mencerminkan komitmen berterusan Agrobank dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara serta memperkasa komuniti tani dan usahawan tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Agrobank berkata, pelbagai inisiatif diperkenalkan termasuk Skim Takaful Tanaman Padi, Program Pembangunan Usahawan Tani (PROBEST), Agropreneur Muda, Hijrah Asnaf dan Kediaman Mampu Milik-i bagi membantu komuniti tani, usahawan Bumiputera serta golongan B40.
Dalam perkembangan sama, Agrobank Centre of Excellence (ACE) berjaya mewujudkan 115 peluang pekerjaan melibatkan 72 syarikat, selain merekodkan tambahan pembiayaan RM17.99 juta kepada 39 syarikat.
“Lebih 61.5 peratus peserta program ACE turut merekodkan peningkatan jualan melebihi 10 peratus dengan keseluruhan pertumbuhan jualan mencapai RM29.18 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Agrobank melancarkan Aspirasi30, pelan pembangunan strategik bagi tempoh 2026 hingga 2030, dirangka untuk memperkukuh sektor pertanian negara melalui penyelesaian kewangan inovatif, transformasi digital dan amalan pertanian lestari.
Pelan itu menetapkan sasaran aset terkumpul sebanyak RM30 bilion menjelang 2030, disokong pertumbuhan pembiayaan mampan dan penyaluran pembiayaan yang lebih bersasar kepada golongan sasar sektor pertanian.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Aspirasi30 mencerminkan komitmen Agrobank untuk menjadi institusi kewangan pembangunan yang lebih kukuh, berdaya tahan dan dekat dengan komuniti tani di seluruh negara.
“Aspirasi30 bukan sekadar angka dan sasaran, sebaliknya mencerminkan komitmen Agrobank untuk menjadi sebuah institusi yang lebih kukuh, berdaya tahan dan sentiasa dekat dengan komuniti tani di seluruh negara,” katanya dalam majlis pelancaran hari ini.
Beliau berkata, Agrobank akan terus memperkukuh keupayaan teras bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim, transformasi teknologi digital dan peningkatan jangkaan pelanggan.
Aspirasi30 dipacu oleh tujuh tunjang strategik utama, iaitu pengukuhan mandat melalui sokongan ekosistem pertanian yang lebih menyeluruh, inovasi industri termasuk pengembangan skim takaful pertanian serta kelestarian menerusi komitmen pembiayaan kumulatif RM1 bilion menjelang 2030 bagi menyokong pertanian berdaya tahan iklim. – UTUSAN










