SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sudah menyiapkan jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan mengejut susulan krisis politik yang berlaku di negeri itu.
ADUN Ampangan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, keutamaan ketika ini tetap tertumpu kepada tanggungjawab terhadap rakyat serta memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar.
“Pasukan yang dibina bukan hanya berorientasikan pilihan raya semata-mata, tetapi lebih kepada membentuk satu pasukan kerja yang mantap, stabil serta dekat dengan rakyat.
“Namun begitu, keutamaan saya ketika ini tetap tertumpu kepada tanggungjawab kepada rakyat dan memastikan agenda pembangunan negeri terus berjalan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Seremban berkata, fokus utama pasukannya ketika ini adalah memperkukuhkan perpaduan, menjaga kebajikan rakyat serta memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Selain itu, katanya isu kesihatan dan keharmonian masyarakat turut diberi perhatian dalam usaha membentuk pentadbiran yang stabil, inklusif dan berkesan pada masa hadapan.
Sementara itu, ADUN Nilai, J.Arul Kumar berkata, pihaknya sudah bersedia menghadapi pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa memandangkan persiapan telah dilakukan sejak awal lagi.
“Persiapan pilihan raya seterusnya telah bermula sejak hari pertama kita menjadi ADUN melalui gerak kerja dan paling penting adalah menyelesaikan masalah serta memenuhi kehendak rakyat.
“Persiapan tersebut bukan hanya dibuat beberapa bulan sebelum pilihan raya sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai isu dan masalah rakyat yang berjaya diselesaikan sepanjang berada dalam kerajaan menjadi kayu pengukur prestasi wakil rakyat, sekali gus menjadi asas untuk terus meyakinkan rakyat agar memberi sokongan semula kepada gabungan tersebut. – UTUSAN











