IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan kebajikan guru terus terpelihara dengan memberi keutamaan kepada aspek pertukaran pasangan guru jarak jauh atau ‘duka lara’.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada keseluruhan pertukaran yang diluluskan setakat ini, 80 peratus permohonan pertukaran diterima adalah membabitkan pasangan jarak jauh.
“Dalam konteks pasangan jarak jauh, kementerian sememangnya memberi keutamaan terhadap permohonan pertukaran.
“Sebab itu, sebanyak 80 peratus permohonan adalah membabitkan pasangan jarak jauh dan ia telah berjaya diselesaikan manakala selebihnya melibatkan faktor kesihatan serta isu keselamatan yang turut diberi pertimbangan kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 95 guru dari seluruh negara menerima anugerah, manakala Dr. Velerie Wheelervon Primus, 37, menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, kementerian amat empati dan mengambil kira setiap keadaan serta situasi yang dihadapi guru-guru di negara ini.
Katanya, antara langkah yang diambil bagi memastikan kebajikan guru terus terbela khususnya melibatkan pasangan jarak jauh ialah dengan memendekkan tempoh permohonan pertukaran.
“Jika sebelum ini proses berkenaan mengambil masa agak lama, kini kita tukar dan berikan kelonggaran untuk memohon pertukaran selepas tempoh dua tahun berkhidmat.
“Kita amat memahami situasi yang dihadapi guru-guru dan sentiasa mengambil kira setiap permohonan yang dikemukakan bagi menjaga kebajikan mereka,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai isu kekosongan jawatan guru besar dan pengetua, beliau berkata, KPM berjaya menyelesaikan kekosongan membabitkan kira-kira 50 jawatan berkenaan.
“Dalam melaksanakan reformasi sekolah serta menangani isu keselamatan dan pengurusan harian, sesebuah sekolah tidak boleh beroperasi tanpa pengetua atau guru besar.
“Sebab itu saya minta Ketua Pengarah dan KSU meneliti dan mempergiat usaha dan komitmen bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan segera,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, beliau memaklumkan kekeliruan berkaitan permohonan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) Kursus Dalam Cuti (KDC) melibatkan guru lantikan Contract of Service (COS) telah diselesaikan.
Menurutnya, isu berkenaan hanya bersifat sementara dan telah ditangani di peringkat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) serta KPM sebaik sahaja aduan diterima.
“Kekeliruan itu telah kita selesaikan dan kini tiada lagi isu berkaitan perkara tersebut,” katanya. –UTUSAN









