JOHOR BAHRU: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek perlu meletak jawatan kerana gagal menentang keputusan Kabinet yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kedua-dua menteri itu bertanggungjawab menjaga Dasar Pendidikan Nasional dan perkara berkaitan dengannya termasuklah soal saluran kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Kegagalan dua menteri dari UMNO dan PKR ini menjaga amanah bangsa untuk mempertahankan Dasar Pendidikan Negara dalam isu pengiktirafan peperiksaan UEC ini tidak boleh dimaafkan.
“Mereka berdua perlu meletakkan jawatan dengan segera,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.









