KOTA BHARU: Polis mengesahkan sebanyak 61 kesan tikaman terdapat di badan gadis berusia 19 tahun yang ditemukan mati dalam keadaan tragis sebelum ditinggalkan di Kampung Simah, Ketereh di sini, kelmarin dan bukannya 105 sepertimana tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, ia berpandukan kepada hasil bedah siasat terhadap yang dijalankan ke atas mangsa yang merupakan pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu.
“Sebanyak 61 kesan tikaman di tubuh gadis ditemukan sepertimana kenyataan rasmi polis sebelum ini. Kesan tikaman itu bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu kepada bahagian kanan badan tidak termasuk kesan calar atau luka kecil,” katanya hari ini.
Mohd. Azmir berkata, pihaknya belum mengenal pasti motif kejadian tersebut meskipun empat suspek iaitu dua remaja berusia 19 tahun dan dua warga emas sudah ditahan reman sejak semalam.
Katanya, siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan ketika ini untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian tersebut.
“Setakat ini, tiada tangkapan baharu dijalankan untuk membantu siasatan kes tersebut. Kita masih meneruskan siasatan terhadap empat suspek yang ditahan termasuk ibu bapa kepada salah seorang remaja itu,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, hubungan seorang suspek lelaki dengan gadis itu adalah sebagai rakan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti motif kejadian sehingga mangsa ditikam dan ditinggalkan di atas jalan raya sebelum ditemukan penduduk.
Terdahulu, empat individu termasuk sepasang suami isteri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat gadis tersebut.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dua remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan reman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan manakala pasangan suami isteri berusia antara 60 tahun dan 66 tahun itu direman tiga hari. – UTUSAN










