India guna biogas najis lembu ganti gas memasak

India guna biogas najis lembu ganti gas memasak

PENDUDUK menuangkan najis lembu ke dalam loji biogas mereka di sebuah kampung di daerah Bulandshahr, Uttar Pradesh.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Kebanyakan penduduk luar bandar di India memilih menggunakan biogas daripada najis lembu sebagai bahan api alternatif ketika berdepan kekurangan bekalan gas memasak.

Krisis tenaga akibat perang Iran menyebabkan barisan panjang untuk mendapatkan silinder gas memasak. Namun, itu bukan masalah bagi seorang penduduk, Gauri Devi.

“Ia boleh memasak apa sahaja. Jika tekanan menurun, kami biarkan ia selama setengah jam dan ia berfungsi semula,” kata wanita berusia 25 tahun itu di dapur halaman rumahnya di Nekpur, sebuah kampung di negeri Uttar Pradesh, kira-kira 90 kilometer dari New Delhi. 

India menggunakan lebih 30 juta tan gas petroleum cecair (LPG) setiap tahun, dengan lebih separuh diimport.

Kerajaan menegaskan tiada kekurangan gas memasak, namun kelewatan bekalan, pembelian panik dan pasaran gelap menyebabkan barisan panjang bagi mendapatkan silinder.

Sejak 1980-an, India turut menggalakkan penggunaan biogas sebagai sumber tenaga murah di luar bandar, dengan lebih lima juta unit tangki pencerna biogas disubsidi untuk menukar sisa ladang menjadi metana untuk memasak serta sisa baja kaya nitrogen.

Bagi Gauri, prosesnya melibatkan mencampurkan beberapa baldi najis lembu dengan air sebelum dimasukkan ke dalam tangki bawah tanah bersaiz kereta yang dilengkapi ruang simpanan gas.

Ia membekalkan metana secara berterusan sehingga dia hanya menggunakan LPG ketika kecemasan atau majlis besar.

Sisa enapcemar daripada proses itu juga turut digunakan sebagai baja di ladang dan dikatakan lebih baik untuk tanaman berbanding najis mentah.

“Baja ini amat bernilai ketika bekalan baja kimia global terjejas akibat gangguan perdagangan berpunca daripada perang. Manfaat sebenar bukan hanya gas, seperti satu bonus. Ia kini seumpama ‘emas hitam’.

“Orang yang sebelum ini tidak berminat kini bertanya bagaimana untuk mendapatkannya. Apabila mereka lihat makanan boleh dimasak dan tanaman mendapat manfaat, mereka semakin yakin,” kata pemimpin petani tempatan, Pritam Singh.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN