KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Semakan pada sistem mahkamah menunjukkan bahawa permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Jun ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah rayuan, Mahyudin Mohmad Som secara sidang video.
Bukti baharu itu membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.
Ai Swan merupakan saksi pendakwaan ke-50 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB.
Permohonan tersebut difailkan oleh firma guaman, Tetuan Shafee & Co yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengikut Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (COJA).
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika dihubungi untuk mengesahkan perkara tersebut memberitahu bahawa beliau sedang berada `dalam persidangan berterusan’ dan meminta media untuk menghubunginya semula selepas pukul 6 petang hari ini.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Datuk Ahmad Akram Gharib mengesahkan pemfailan tersebut namun enggan mengulas lanjut.
Pada 26 Disember 2025, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan yang dihadapi oleh Najib.
Hakim Sequerah yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan Najib untuk memulangkan RM2,081,476,926 (sum recoverable) sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 55 (2) Akta Pencegahan. Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Kegagalan memulangkan jumlah tersebut, hukuman Najib boleh ditambah lagi hukuman penjara selama 22 tahun lima bulan.
Hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana 1MDB itu diperintahkan berjalan berasingan daripada hukuman penjara yang sedang dijalani Najib sekarang atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Ini bermakna, sebaik sahaja Najib selesai menjalani hukuman penjara bagi kesalahan SRC International yang dijangka selesai pada Ogos 2028 (sekiranya Najib membayar denda RM50 juta), hukuman bagi kesalahan penyelewengan dana 1MDB akan bermula.
Pada ketika ini, pendengaran rayuan bagi keputusan kes 1MDB masih belum ditetapkan. – UTUSAN










