1.8 juta saringan kesihatan berjaya dilaksana bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat

1.8 juta saringan kesihatan berjaya dilaksana bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat

AHLI Kelab Media Putrajaya menjalani saringan kesihatan yang dianjurkan KKM dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan kira-kira 1.8 juta saringan kesihatan setakat ini terhadap individu berusia 18 tahun ke atas menerusi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI).

Program di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) itu bertujuan mengesan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus mengurangkan risiko komplikasi serius dan kos rawatan tinggi.

Ketua Sektor Pencegahan dan Kawalan Kardiorenal Metabolik, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr. R. Sivarajan berkata, saringan kesihatan yang dijalankan memberi fokus untuk mengesan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung yang semakin membimbangkan.

“Antara ujian dijalankan termasuk pemeriksaan gula dalam darah, tekanan darah, indeks jisim badan (BMI), paras kolesterol serta saringan kesihatan mental,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program saringan kesihatan bersama ahli Kelab Media Putrajaya (KMP) yang dianjurkan KKM dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 20 ahli KMP hadir menjalani ujian saringan kesihatan antaranya melibatkan tekanan darah tinggi, hepatatis B & C, kiraan darah penuh (FBC), glukosa, fungsi hati, spesifik prostat, pap smear dan pemeriksaan payudara klinikal.

Program saringan kesihatan bersama rakan media yang diadakan hari ini merupakan sebahagian dariapda pelaksanaan NHSI yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dr. Sivarajan berkata, maklumat berkaitan sejarah merokok dan pengambilan alkohol turut diambil kira kerana ia merupakan faktor risiko utama kepada pelbagai penyakit kronik.

Jelasnya, individu yang dikenal pasti mempunyai keputusan tidak normal kemudiannya akan dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran bagi ujian pengesahan serta rawatan susulan.

“Pengesanan awal amat penting kerana ia membolehkan rawatan diberikan lebih awal sekali gus mengelakkan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang atau penyakit jantung.

“Selain dapat menyelamatkan nyawa, langkah pencegahan itu juga mampu mengurangkan beban kos rawatan kepada kerajaan serta meningkatkan produktiviti masyarakat. Ini termasuk mengurangkan ketidakhadiran ke tempat kerja, prestasi kerja yang terjejas serta kematian pramatang akibat penyakit kronik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan saringan kesihatan juga dilihat semakin meningkat, namun usaha memperkukuh literasi kesihatan masih perlu diteruskan.

“KKM giat melaksanakan kempen kesedaran bagi menggalakkan perubahan tingkah laku ke arah gaya hidup lebih sihat, bukan sahaja dari segi pengetahuan tetapi juga amalan harian,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas agar menjalani saringan kesihatan secara berkala sebagai langkah pencegahan awal sama ada di semua klinik kesihatan kerajaan, selain di klinik swasta yang menyertai program PeKa B40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN