PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan untuk menaikkan kadar duti eksais ke atas produk rokok berkuat kuasa 1 November ini di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai rokok akan dinaikkan sebanyak dua sen sebatang manakala cerut, cheroots dan cigarillos dinaikkan kepada RM40 sekilogram.
Katanya, produk heated tobacco juga dinaikkan sebanyak RM20 sekilogram bagi kandungan tembakaunya.
“Pada masa yang sama, kerajaan turut melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk terapi gantian nikotin dan diperluas kepada produk nicotine mist dan nicotine lozenges sehingga 31 Disember 2027.
“Bagi mengurangkan akses kepada minuman beralkohol dan menggalakkan gaya hidup lebih sihat, kerajaan bersetuju supaya kadar duti eksais bagi produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, hasil tambahan daripada rokok dan minuman keras akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) antaranya untuk Inisiatif Kesihatan Paru-Paru KKM serta bagi rawatan diabetes dan penyakit jantung.
“Mencegah lebih baik daripada mengubati. Dicadangkan, perbelanjaan pemvaksinan yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas meliputi semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh KKM,” katanya. – UTUSAN










