‘Wira tidak didendang’ operasi haji

‘Wira tidak didendang’ operasi haji

PETUGAS Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) Tabung Haji (TH) menyambut ketibaan jemaah haji Malaysia di Hentian Rehat Al-Hijrah Wadi Satrah, Tabuk, Arab Saudi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) adalah ‘wira tidak didendang’ operasi haji yang bertungkus-lumus memastikan pergerakan 31,600 jemaah Malaysia ke tanah suci lancar.

Pengurus PPKL, Mohd. Azir Shahril Ahmad berkata, petugas PPKL Tabung Haji (TH) ditempatkan di Hentian Rehat Al-Hijrah Wadi Satrah yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Madinah dan lokasi persinggahan penting jemaah haji Malaysia dalam perjalanan ke Mekah.

Beliau berkata, mereka bukan sahaja bertanggungjawab mengurus ketibaan bas yang berhenti di lokasi itu untuk berehat dan solat selama satu jam, namun juga melihat daripada segi keselamatan jemaah sehingga perlu membuat persediaan lebih awal.

“Kami menjadi pasukan terawal digerakkan jika berlaku kecemasan dan menyelaras maklumat antara Mekah dan Madinah serta menyediakan pelaporan pergerakan bas secara berterusan.

“Malah PPKL perlu memastikan kemudahan asas se­perti tandas, surau dan kawasan makan berada dalam keadaan baik, selain melaksanakan kerja penambahbaikan di lokasi.

“Secara keseluruhannya, hen­tian ini bukan sekadar lokasi persinggahan, sebaliknya menjadi mod penting dalam memastikan kelancaran, keselamatan dan penyelarasan perjalanan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui di Hentian Rehat Al-Hijrah Wadi Satrah di sini, baru-baru ini.

Menyentuh cabaran dilalui pasukan itu, Mohd. Azir berkata, mereka tidak seperti petugas haji yang ditempatkan di Mekah dan Madinah, kerana perlu berada di hentian itu sepanjang masa bagi memastikan perjalanan jemaah ke Tanah Suci berjalan lancar.

Katanya, selain itu mereka perlu berada di hentian itu selama sebulan dan perlu melalui pelbagai cabaran seperti cuaca panas melampau dan risiko ribut pasir yang boleh menjejaskan kesihatan.

Beliau menjelaskan, walaupun berdepan pelbagai kesukaran termasuk kekurangan kemudahan dan keadaan kerja yang mencabar, pihaknya tetap komited melaksanakan amanah yang diberikan untuk menyantuni tetamu Allah.

“Mereka adalah tetamu Allah. Apa yang kita lakukan ini adalah untuk menyantuni mereka dan mengharapkan ganjaran pahala yang besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN