Veterinar patahkan cubaan seludup ternakan korban - Utusan Malaysia

Veterinar patahkan cubaan seludup ternakan korban

SEBAHAGIAN biri-biri dan kambing yang dirampas JPV Perak selepas menahan sebuah lori di Kilometer 323.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tapah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cubaan menyeludup 37 ekor biri-biri dan 27 ekor kambing bagi tujuan ibadah korban gagal, apabila lori yang membawa ternakan itu berjaya dikesan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, semalam.

Kenderaan itu dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Selangor sebelum ditahan pada pukul 11 pagi di Kilometer 323.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tapah.

Pengarah JPV Perak, Dr. Saifullizam Abd. Kadir berkata, penahanan terhadap kenderaan yang membawa ternakan tanpa kebenaran JPV itu dijalankan melalui Op Korban Tegas 2026.

Katanya, hasil pemeriksaan, pemandu lori tersebut didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pemindahan yang sah.

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pemandu lori berkenaan bertindak menutup keseluruhan bahagian belakang kenderaan menggunakan kanvas

“Ternakan yang dibawa dipercayai untuk stok korban dan dianggarkan bernilai RM30,000 manakala lori yang digunakan pula bernilai RM80,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM110,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pada peringkat awal pemilik ternakan enggan memberikan kerjasama kepada pihak penguat kuasa.

Bagaimanapun, katanya, selepas pihak penguat kuasa menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan, pemilik terbabit akhirnya akur dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan proses pemeriksaan serta tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah beliau, operasi tersebut dijalankan oleh JPV Perak dalam usaha memperkukuh kawalan pergerakan ternakan menjelang musim perayaan.

“Op Korban Tegas 2026 yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bermula hari ini sehingga hari perayaan, bertujuan mengawal dan membanteras aktiviti pemindahan ternakan tanpa kebenaran yang sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN